Berita Semasa

Kedutaan asing tiada kuasa keluar pas dan visa – Imigresen

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan kedutaan asing di negara ini tidak mempunyai kuasa dalam mengeluarkan pas dan visa kepada rakyat mereka di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, pengeluaran visa dan pas kepada warganegara hanya boleh dikeluarkan oleh JIM.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa mana-mana pihak luar tiada hak mencampuri urusan kedaulatan dan undang-undang negara ini.

“Pengeluaran visa dan pas kepada warganegara asing untuk tinggal dan bekerja di negara ini, dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen sebagai pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan oleh NGO Migrant Care yang diterbitkan dalam laporan berita di portal berita Malaysiakini pada 7 Februari yang bertajuk “Petempatan warga asing di Nilai Spring bukan haram, kata Migrant Care”.

Tambah Khairul Dzaimee, mereka yang ditahan dalam operasi bersepadu pada 1 Februari lalu tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Seramai 67 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terdiri warga Indonesia berusia lingkungan dua bulan hingga 72 tahun ditahan dalam operasi tersebut.

“Tiada mana-mana pihak yang boleh mempersoalkan kewajaran JIM melaksanakan operasi membenteras PATI kerana ini adalah tugas hakiki Jabatan ini.

“Rakyat Malaysia juga dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa negara luar apabila mereka melanggar undang-undang Imigresen negara berkenaan. Justeru, semua pihak hendaklah menghormati kedaulatan undang-undang sesebuah negara,” tegasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button