Berita Semasa

Jangan abaikan standard perburuhan walau diberi kelonggaran – Sivakumar

CYBERJAYA – Para majikan diingatkan supaya tidak mengabaikan aspek berkaitan standard perburuhan walaupun kerajaan melaksanakan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi menyegerakan kelulusan kuota pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, beliau mengharapkan kerjasama majikan dan pihak industri dalam pematuhan kepada aspek asas berkaitan dengan standard perburuhan antaranya pembayaran gaji bulanan kepada pekerja termasuk gaji minimum dan caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Aspek-aspek berkaitan standard perburuhan tidak wajar diabaikan walaupun proses naziran bersama oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan dibuat selepas tempoh enam ke tujuh bulan dari tarikh kelulusan kuota,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, imej dan kredibiliti negara perlu sentiasa dijamin teruatamanya dalam menjaga kebajikan dan hak-hak pekerja seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Sivakumar turut meminta majikan untuk membuat permohonan kuota pekerja asing di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing itu berdasarkan keperluan sebenar.

“KSM (Kementerian Sumber Manusia) akan memastikan bahawa kelulusan kuota yang diberikan dapat memenuhi keperluan sebenar guna tenaga negara,” katanya.

Beliau juga memohon kepada majikan supaya dokumen untuk menyokong permohonan kuota pekerja asing yang dikemukakan adalah sahih kerana sebelum ini terdapat kes permohonan yang melibatkan dokumen palsu.

Pada Selasa, Sivakumar berkata kerajaan akan melaksanakan program Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi menyegerakan proses permohonan serta kelulusan penggajian pekerja asing bagi lima sektor dan subsektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja).

Show More

Related Articles

Back to top button