Berita Semasa

Kemasukan pekerja warga asing bertambah empat kali ganda di KLIA

PUTRAJAYA – Imigresen Malaysia (JIM) merekodkan pertambahan kemasukan warga asing sehingga empat kali ganda daripada kadar biasa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, peningkatan kadar kemasukan pekerja asing itu disebabkan oleh tindakan majikan yang membawa masuk pekerja pada saat-saat akhir menjelang tarikh berakhir pada 31 Mei 2024 .

“Selain daripada itu, setiap pekerja asing yang masuk ke Malaysia perlu melalui proses semakan dan pengesahan pemeriksaan kesihatan mereka di KLIA.

“Sebagai perbandingan, dalam keadaan biasa, ketibaan harian pekerja asing adalah di antara 500-1000 orang.

“Bilangan ketibaan mula meningkat sehingga 2500 orang sehari pada 22 Mei 2024 dan seterusnya pada 27 Mei 2024 telah meningkat sehingga 4000-4500 orang sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin berkata, pihaknya menjangkakan bilangan ketibaan akan terus meningkat sehingga 31 Mei 2024 berdasarkan makluman dari syarikat penerbangan yang akan meningkatkan jumlah penerbangan mereka.

Sehubungan itu kata beliau, JIM bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad untuk menguruskan kesesakan itu bagi memastikan keselesaan penumpang-penumpang lain di KLIA terjamin.

“Antara tindakan yang telah dilaksanakan adalah menambah bilangan kaunter dan bilangan pegawai Imigresen untuk mempercepatkan proses semakan dan pengesahan.

“Kita juga akan menguruskan kebajikan seperti menyediakan makan dan minum untuk pekerja asing yang berada di terminal.

“Jabatan akan terus memantau dan menambah baik situasi ini dan menggesa pihak majikan untuk memberikan kerjasama penuh dengan hadir segera bagi menyelesaikan proses pemeriksaan imigresen pekerja mereka,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button