Politik

PAU 2022: Usul tambahan tidak pertanding jawatan ‘top two’ bukan usul haram

CYBERJAYA – Dakwaan sesetengah pihak bahawa usul tambahan yang dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berhubung dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan sebagai usul haram adalah tidak berasas.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau telah meminta nasihat daripada peguam-peguam parti berkaitan perkara itu sebelum ia diluluskan.

“Usul tambahan itu pula bukan usul haram seperti tuduhan. Setelah episod ucapan dan cadangan wakil Negeri Sembilan yang disokong wakil Terengganu, saya telah meminta nasihat peguam-peguam UMNO.

“Mereka menyatakan kaedah usul itu dibolehkan seperti peraturan Persidangan UMNO Perkara 20,” kata Ahmad dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, usul tambahan tersebut yang mencadangkan supaya jawatan Presiden UMNO dan timbalannya tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang diluluskan selepas mendapat sokongan oleh hampir kesemua perwakilan yang terlibat.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbarnya semalam berkata, mana-mana ahli atau pemimpin UMNO boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi meneliti semula keputusan meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

Jelas Ismail, terdapat dua pandangan berbeza berhubung kelulusan berkenaan disebabkan ada segelintir mengatakan ia dibolehkan kerana diputuskan dalam PAU, sebagai badan tertinggi dalam parti.

Satu lagi pandangan menyebut bahawa jawatan seperti Pengerusi Tetap, Presiden, Timbalan Presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu dipilih setiap tiga tahun.

Sementara itu, Ahmad turut menafikan dakwaan kewujudan ‘pengundi hantu’ yang dibawa masuk untuk meluluskan usul berhubung dua jawatan tertinggi itu.

“Diyakini 100% tidak benar tuduhan liar itu. Kad yang tertera gambar perwakilan dipakai sepanjang persidangan dan jiran-jiran kerusi perwakilan saling mengenali malah pengacara juga umumkan agar perwakilan duduk di kerusi masing-masing yang telah ditetapkan.

Ahmad turut menafikan dakwaan bahawa perwakilan ‘import’ hadir untuk membantu ‘bulldoze’ usul berkenaan demi kepentingan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata demikian sambil merujuk kepada video yang dikongsi bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di akaun Instagram miliknya, semalam.

Show More

Related Articles

Back to top button