Politik

Bersatu lucut keahlian Abdul Ramli serta-merta

CYBERJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mengumumkan pelucutan keahlian Abdul Ramli sebagai Ketua Bahagian Jerlun, berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan.

Kata Hamzah, keahlian Abdul Ramli terlucut serta-merta kerana kesalahan melanggar Fasal 10.2.4 Perlembagaan parti dengan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN N.03 Kota Siputeh.

“Bersatu memandang serius isu pelanggaran disiplin dan akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mensabotaj calon Perikatan Nasional dalam pilihan raya umum negeri kali ini,” kata Hamzah dalam kenyataan tersebut.

Beliau seterusnya menjelaskan, pihak parti sebelum ini juga telah memecat seorang ahli dari Bahagian Hulu Selangor dan menggantung keahlian dua yang lain, selama tiga tahun, disebabkan kesalahan sabotaj ketika kempen pilihan raya berlangsung.

“Sehubungan itu, berbaki lima hari tempoh berkempen, seluruh ahli serta jentera Bersatu adalah diseru supaya memberikan tumpuan serta fokus sepenuhnya dalam memastikan kemenangan kepada kesemua calon Perikatan Nasional, sama ada yang bertanding di bawah lambang Perikatan Nasional (PN) atau PAS bagi menterjemahkan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan PH-BN,” kata Hamzah lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button