Politik

KJ sifatkan tiada pemilihan sebagai kegilaan

KUALA LUMPUR – “Hentikan kegilaan ini,” itulah yang disuarakan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berhubung sokongan yang diberikan 140 Ketua Bahagian UMNO supaya jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.

Beliau yang kecewa dengan perkembangan itu mendesak supaya pemilihan jawatan itu diadakan seperti biasa untuk memastikan amalan demokrasi dalam UMNO diteruskan.

“Hentikan kegilaan ini. Saya rasa Presiden seorang fighter (pejuang) yang tidak gentar menghadapi pencabar.

“Buka ruang pertandingan. Jangan matikan demokrasi dalam UMNO,” katanya melalui perkongsian poster yang beredar di laman sosial hari ini.

Bekas Menteri Kesihatan sebelum ini menyatakan pendiriannya untuk bertanding jawatan Presiden bagi mengubah kepimpinan UMNO yang terpalit dengan pelbagai isu.

Khairy juga semalam menyatakan kesudian untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya beliau terpilih menjadi Presiden parti Melayu terbesar itu.

Semalam, media melaporkan, seramai 140 ketua UMNO di peringkat bahagian menyatakan kebersamaan mereka untuk melihat jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertanding tahun ini.

Keputusan itu dilihat untuk terus membolehkan UMNO dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pemilihan UMNO ditangguhkan sehingga 19 Mei ini selepas penangguh tahun lalu ekoran Pilihan Raya Umum ke 15 tahun lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button