Politik

Pemuda UMNO desak SPR ambil tindakan terhadap salah laku rasuah pengundi pada PRU15

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan siasatan terhadap petisyen salah laku yang dikemukakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Menurut beliau, terdapat bukti dalam bentuk video yang menunjukkan berlakunya salah laku merasuah pengundi pada PRU15 lalu.

“Pemuda UMNO mendesak SPR segera mengambil tindakan terhadap semua petisyen-petisyen pilihan raya yang telah dikemukakan terhadap salah laku sogokan wang dan rasuah.

“Bahkan ada video, macam-macam video yang membuktikan amalan rasuah pengundi dengan berani menggunakan nama Allah,” katanya dalam ucapan dasar pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Tambah Asyraf Wajdi lagi, beliau juga merakamkan tanda terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana telah mula menangkap mereka yang terlibat dalam kes penyelewengan dana RM92.5 bilion.

“Pemuda UMNO juga ingin merakamkan terima kasih kepada SPRM yang mula mengambil tindakan menangkap suspek-suspek dalam kes penyelewengan RM92.5 bilion yang diluluskan dalam tempoh darurat.

“Sebab itu waktu itu Parlimen pun dimandulkan. Khabarnya ramai yang akan ditangkap dan diambil tindakan.

“Ini mengesahkan kesangsian kita yang selama ini berbilion-bilion duit rakyat disakau melalui projek rundingan terus yang diluluskan sewaktu pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button