Korea Selatan bekukan kenaikan gaji tahunan pegawai kanan kerajaan
SEOUL – Kabinet Korea Selatan hari ini meluluskan pelan pembekuan kenaikan gaji tahunan pegawai kanan kerajaan bagi tahun ini sejajar langkah kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan dan menjamin disiplin fiskal.
Laporan agensi Yonhap yang memetik Kementerian Pengurusan Kakitangan berkata, menerusi pelan itu, kenaikan gaji tahunan penjawat awam daripada gred 4 dan lebih tinggi akan dibekukan dan 10% daripada gaji mereka akan didermakan.
Ini bermakna, kenaikan gaji timbalan pengarah kanan dan pegawai tinggi dibekukan termasuk Presiden Yoon Suk Yeol dan Perdana Menteri, Han Duck-soo.
Gaji tahunan Yoon berjumlah kira-kira 245 juta won (RM844,702) untuk tahun ini.
Bagi penjawat awam gred 5 dan ke bawah, gaji tahunan mereka akan dinaikkan sebanyak 1.7% tahun ini, kata kementerian itu lagi.
Dalam sistem sembilan peringkat Korea Selatan, gred 1 adalah yang tertinggi manakala gred 9 adalah yang terendah.
Sementara itu, gaji bulanan sarjan Tentera Darat akan dinaikkan kepada 1 juta won (RM3,447) tahun ini berbanding 676,000 won (RM2,330) pada tahun lepas.
Gaji bulanan untuk sarjan akan dinaikkan lagi kepada 1.25 juta won (RM4,309) pada tahun depan dan 1.5 juta won (RM5,171) pada 2025.