Berita Semasa

Pelbagai program dirangka promosi konsep Malaysia Madani

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi telah menyediakan pelbagai program bagi memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai pentadbiran Kerajaan Madani.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pelbagai program telah dilaksanakan oleh kementerian dalam pelbagai kaedah seperti Kita Madani, Jiwa Madani dan Hebahan Info On Wheels (IOW) yang merupakan program turun padang dan libat urus Jabatan Penerangan (JaPen) bersama komuniti setempat.

“Sebanyak 30 program Jiwa Madani di 32 lokasi turut dilaksanakan di samping program-program lain seperti Kita Madani dan Infiesta Pentarama bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai mesej dan konsep Malaysia Madani.

“Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) juga secara berterusan menyebar luas konsep Malaysia Madani melalui penyiaran pelbagai bentuk bahan siaran seperti kapsul, pesanan khidmat awam (PKA) dan program bual bicara yang disiarkan dalam pelbagai bahasa, loghat dan dialek bagi memberi kefahaman kepada rakyat, seperti program bual bicara di Selamat Pagi Malaysia, IRIS dan Vasantham (Tamil), ” katanya pada sidang Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negara, Amir Md Ghazali berkaitan sejauh mana keberkesanan strategi kementerian dalam menyampaikan kefahaman tentang dasar, agenda dan kejayaan pentadbiran Kerajaan Madani kepada setiap lapisan masyarakat dan rakyat sepanjang tahun 2023 sehingga kini.

Dalam pada itu, usaha lain adalah seperti penghebahan melalui media sosial dan digital yang melibatkan perkongsian maklumat infografik dan videografik daripada pelbagai kementerian dan agensi-agensi kerajaan di platform media digital RTM, Bernama dan JaPen.

Selain itu, kementerian juga mengambil inisiatif untuk melaksanakan 18 pameran yang mengandungi maklumat tentang konsep Malaysia Madani sepanjang 2024 di seluruh negara.

“JaPen telah menyediakan platform penyebaran maklumat melalui papan iklan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan bagi menjalankan kempen Komuniti Madani dan pihak ProtectHealth bagi kempen Skim Perubatan Madani.

“JaPen turut melaksanakan usaha bagi meningkatkan kefahaman mengenai Malaysia Madani menerusi penerbitan secara digital mahupun cetak,” katanya lagi.

Nie Ching menjelaskan bahawa usaha secara berterusan akan terus dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan konsep Malaysia Madani dapat difahami, dihayati dan dibudayakan oleh setiap lapisan masyarakat.

Show More

Related Articles

Back to top button