Berita SemasaPM X

Feri percuma disediakan buat pengunjung Program Madani Rakyat Zon Utara

GEORGETOWN – Perkhidmatan feri Pulau Pinang secara percuma akan disediakan bagi pengunjung Program Madani Rakyat (PMR) Zon Utara yang berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang, Abdul Kahar Abdullah berkata, perkhidmatan feri percuma itu disediakan dari Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth ke Pangkalan Raja Tun Uda.

“Dari jeti Pangkalan Sultan Abdul Halim, akan disediakan bas perantara percuma ke Tapak Pesta Pulau Pinang. Bas percuma juga disediakan kepada pengunjung dari tapak parkir di Universiti Sains Malaysia (USM) dan pusat beli-belah Queensbay Mall.

“Kita tahu tapak pesta ini kawasan yang agak padat, jadi pengunjung digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan awam. Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuat persediaan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas,” katanya semasa sesi temu bual di radio Mutiara FM semalam.

Beliau berkata pengangkutan bas percuma itu akan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam bagi ketiga-tiga hari berkenaan.

“Ia merupakan program anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri merangkumi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Penawaran diskaun hingga 50 peratus di kaunter bayaran saman trafik PDRM, lebih 1,582 peluang pekerjaan, cabutan bertuah, 66 jualan keusahawanan tempatan dan Program Jualan Madani yang menjual barang keperluan seperti beras dan ayam juga disediakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu katanya, program ini sesuai dan boleh dikunjungi oleh semua golongan kerana pelbagai aktiviti ditawarkan mengikut kesesuaian umur termasuk kanak-kanak.

Beliau berkata, majlis perasmian penutupan Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Mei ini yang diadakan sekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024.

“Program Madani Rakyat Zon Utara bakal menumpukan kepada agenda berkaitan kesejahteraan rakyat, perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengangkutan awam bersepadu.

“Ia merupakan program dengan kerjasama strategik Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri merangkumi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button