Berita SemasaPM X

Kementerian Wilayah Persekutuan distruktur semula sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan

CYBERJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan distruktur semula sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan dengan pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya selepas menghadiri sesi taklimat Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hantaran tersebut turut memaklumkan jabatan itu akan diterajui oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Rosida Jaafar.

“Sesi taklimat kepada Perdana Menteri disampaikan oleh Datuk Seri Rosida Jaafar, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan berkaitan struktur terkini pentadbiran Jabatan Wilayah Persekutuan.

“Jabatan yang sebelum ini adalah sebuah kementerian, distrukturkan semula pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Mohd Zuki berkata, sebaik selesai taklimat terbabit, beliau bersama Perdana Menteri menghadiri Majlis Interaksi Wilayah Persekutuan.

Jelasnya, majlis terbabit adalah platform di antara pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan dengan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan bagi membincangkan isu kritikal serta cadangan pelaksanaan dasar pembangunan demi kesejahteraan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Kedua-dua majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Solehuddin Alyubi; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi DBKL dan menjadi lawatan kerja pertama Anwar ke ibu pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Perdana Menteri hadir bagi mendengar taklimat serta penerangan mengenai pengurusan dan hal ehwal DBKL yang diadakan secara tertutup.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button