BERITA SEMASA

SLU tadika swasta diadakan di dewan sekolah, bukan gereja – KP Pendidikan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan bahawa Sesi Libat Urus (SLU) bersama pemegang taruh tadika swasta Zon Utara yang diadakan semalam berlangsung di sebuah gereja.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, program berkenaan sebenarnya diadakan di dewan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang berdaftar dengan KPM.

Menurutnya, dakwaan segelintir pihak bahawa sesi tersebut diadakan dalam gereja adalah tidak berasas dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“SLU ini telah dilaksanakan di dewan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption dan bukannya dalam gereja seperti yang didakwa.

“Pemilihan sekolah tersebut dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk kemudahan dan fasiliti yang tersedia, selain mengetengahkan sekolah antarabangsa sebagai sebahagian daripada institusi pendidikan swasta di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penganjuran program itu juga membuktikan wujudnya sinergi yang baik antara KPM dan penyedia pendidikan swasta.

Dalam pada itu, Mohd Azam menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai berniat jahat dan cuba memburukkan imej kementerian.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan.

“Sempena bulan Ramadan ini, KPM menyeru semua pihak agar meningkatkan amal ibadah dan tidak terjebak dalam perbuatan fitnah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button