Oleh SITI MAISARAH RAMADZAN
ARUS Revolusi Industri Keempat telah membawa perubahan menyeluruh terhadap cara manusia berinteraksi dan bertindak.
Dalam landskap baharu ini, generasi Z dilihat sebagai peneraju transformasi digital. Namun, di sebalik keghairahan menakluki dunia yang dihujani cahaya teknologi, aspek pembentukan akhlak dan adab semakin terhakis akibat perubahan zaman yang pesat.
Peranti pintar juga telah menjadi āanggota badan keduaā khususnya bagi generasi Z di mana tangan mereka tidak lekang dari menggenggam telefon pintar sejak bangun tidur sehingga waktu malam.

Ketika teknologi melonjak ke angkasa, nilai-nilai murni yang sepatutnya dipertontonkan tenggelam ditelan oleh suara notifikasi yang menggantikan gelak tawa dan scrolling tanpa henti. Tiada bicara, tiada pandang.
Menurut kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), majoriti belia menggunakan media sosial lebih lima kali sehari.
Data ini menunjukkan bahawa teknologi yang sepatutnya merapatkan jarak komunikasi global sebenarnya menyebabkan masa berkualiti bersama keluarga dan pembentukan adab semakin terpinggir.
Gajet jadi raja, adab jadi mangsa
Sekeliling kita dapat dilihat kebanyakan generasi Z duduk di meja makan sambil ditemani teknologi pintar di depan mata, bukan menatap wajah ibu bapa.
Ironinya, generasi Z merupakan generasi paling pintar dalam sejarah. Namun, di sebalik kepandaian itu adab semakin pudar.
Budaya mengecam tanpa belas kasihan dan sindiran sarkastik menjadi perkara biasa atas nama ākebebasan bersuaraā.
Seorang guru berpengalaman selama 25 tahun, Cikgu Zaiton Ismail berkongsi, banyak perbezaan antara pelajar dahulu dan kini.
“Dahulu, pelajar berdiri hormat bila guru masuk kelas. Hari ini, saya masuk mereka masih tunduk bukan menghormati tapi kerana mereka sedang bermain TikTok,” luahnya sekali gus menggambarkan realiti berajakan teknologi.
Teknologi canggih, tapi jiwa kosong
Sesetengah pelajar yang mahir mengedit video namun tidak pandai memberi salam kepada guru. Remaja kini hafal semua lagu viral tetapi jarang mengucapkan terima kasih apabila dibantu. Ada yang trending di media sosial tetapi gagal berinteraksi dengan baik dalam majlis keluarga.
Oleh itu, apakah makna kemajuan teknologi jika hubungan sesama manusia menjadi hambar? Apa nilai ribuan pengikut jika adab dengan jiran tidak terpelihara?
Tokoh pendidikan negara, Profesor Dr. Sidek Baba berkata, walaupun teknologi terus berkembang kualiti jiwa dan nilai moral tetap menjadi asas kepada kemajuan masyarakat.
“Kecanggihan teknologi mesti diiringi dengan akhlak. Kalau tidak, lahirlah insan yang celik teknologi tetapi buta pekerti. Kekurangan tapisan nilai dalam komunikasi digital bukan sahaja mengguris perasaan malah merosakkan asas hormat dalam masyarakat,” tegasnya.
Di mana silapnya?
Bagaimanapun, dalam situasi ini, kesalahan tidak wajar diletakkan pada anak muda semata-mata. Siapakah yang mula memberikan telefon pintar sejak darjah satu? Siapakah yang membiarkan mereka menggunakan gajet tanpa pemantauan?
Ibu bapa sering memberi alasan bahawa telefon diberikan supaya anak tidak mengganggu ketika melakukan kerja rumah.
Jika tidak anak akan meragam. Inilah antara penyumbang. Apakah peranti yang bersalah atau didikan yang kurang? Peranti hanyalah alat yang membentuk, adab ialah hati yang dididik dan akal yang disemai dengan nilai.

Justeru, tanggungjawab utama terletak pada ibu bapa, guru dan masyarakat untuk membimbing bukan membiarkan.
Ahli falsafah Amerika Syarikat, John Dewey pernah berkata: āA child who is only taught,is not truly educated.ā
Ini bermakna penguasaan teknologi perlu disertai dengan pendidikan adab agar didikan itu jadi sempurna.
Kembalikan adab dalam genggaman
Teknologi bukan musuh dan adab bukan warisan kuno. Ia adalah benteng iman. Peranti boleh menjadi alat kebaikan namun juga pintu dosa.
Sedarlah generasi muda, kehebatan bukan diukur melalui jumlah ālikesā tetapi melalui adab yang terserlah dalam diri. Bahaya berlaku apabila keghairahan mengejar kemajuan teknologi mengatasi nilai-nilai murni.
Bangkitlah menjadi generasi yang bukan sahaja tahu tetapi tahu berbuat baik. Generasi yang bukan sahaja mahir menekan papan kekunci tetapi juga bijaksana menjaga tutur kata dan tingkah laku.
Sabda Nabi Muhammad SAW: āSesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.ā (Hadis Riwayat Ahmad)
Inilah realiti sebenar peranti menggenggam tangan, tetapi rasa hormat di hati hilang. Seolah-olah teknologi menjadi raja pengatur kehidupan manakala adab dikorbankan.
* Penulis merupakan Pelajar Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
