SUKAN

Messi atasi Ronaldo, cipta rekod jaringan tanpa penalti tertinggi dunia

MIAMI – Lionel Messi terus mencipta sejarah tersendiri apabila mengatasi Cristiano Ronaldo sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman tanpa mengambil kira jaringan menerusi sepakan penalti.

Pemain berusia 38 tahun itu mencapai rekod berkenaan selepas meledak dua gol ketika membantu Inter Miami membelasah New York Red Bulls 5-1 dalam aksi Major League Soccer (MLS), sekali gus mencatatkan 764 gol bukan penalti sepanjang kariernya.

Jumlah itu mengatasi Ronaldo yang merekodkan 763 gol bukan penalti, menurut laporan portal antarabangsa 433 dan Mundo Deportivo.

Difahamkan, Messi mencapai angka tersebut dengan 167 perlawanan kurang berbanding pemain Portugal itu.

Musim ini, Messi mencatat 18 gol dan tujuh bantuan jaringan dalam 18 perlawanan MLS, menjadikannya antara tonggak penting dalam skuad kendalian Javier Mascherano.

Inter Miami kini berada di tangga kedua Eastern Conference, ketinggalan enam mata di belakang pendahulu namun masih berbaki tiga perlawanan.

Dalam aksi menentang Red Bulls, Messi bukan sahaja menjaringkan dua gol tetapi turut mencipta satu bantuan jaringan serta memainkan peranan penting dalam gol ketiga pasukannya.

Perlawanan bermula dengan Inter Miami ketinggalan hasil jaringan Alexander Hack, namun Messi mengubah tempo permainan dengan melorongkan bola kepada Jordi Alba sebelum membantu gerakan yang membawa kepada jaringan Telasco Segovia.

Gol pertamanya hadir hasil hantaran Sergio Busquets yang disudahkan dengan tenang, manakala gol kedua pula berpunca daripada hantaran lintang Luis Suarez yang dikawal kemas sebelum disepak ke gawang.

Kemenangan itu menyaksikan Inter Miami mencatat 12 kemenangan, lima seri dan empat kekalahan, sekali gus terus berada di landasan untuk mara ke saingan playoff.

Sejak menyertai kelab Amerika Syarikat itu, Messi telah menjaringkan 58 gol dan mencipta 25 bantuan jaringan dalam 68 penampilan.

Setakat ini, Messi mencatat 29 gol untuk tahun 2024, melepasi jumlah 28 gol yang dilakukannya pada tahun lalu, dan kini memburu rekod jaringan tertinggi dalam satu tahun kalendar di MLS.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button