Lelaki ditahan ajak anak saudara jadi pengemis guna kostum Spiderman
MELAKA – Tindakan seorang lelaki memperalatkan anak saudara perempuan berusia tujuh tahun untuk mengemis di sebuah stesen minyak di Cheng, di sini terbongkar apabila ditahan semalam.
Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka dalam satu serbuan kira-kira pukul 6 petang yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.
Menurut Kalsom, pihaknya bertindak susulan aduan orang awam yang bersimpati melihat kanak-kanak terbabit terpaksa mengemis dalam keadaan cuaca panas dengan hanya berlindung menggunakan payung.
“Saya terus ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai perbuatan lelaki tersebut yang sanggup mengeksploitasi anak saudara sendiri untuk tujuan mengemis.
“Perbuatan ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang melarang sebarang bentuk eksploitasi kanak-kanak termasuk digunakan untuk mengemis, kerja berbahaya atau tujuan komersial serta keuntungan tidak wajar,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Tinjauan mendapati, lelaki berkenaan mula mengemis pada pukul 4 petang bersama kanak-kanak tersebut yang mengenakan kostum ‘Spiderman’ yang sudah lusuh.
Sepanjang lebih dua jam berada di lokasi, beberapa kenderaan dilihat berhenti bagi menghulurkan sumbangan ke dalam sebuah kotak putih yang digantung di leher lelaki itu tertera tulisan ‘Sumbangan Ikhlas Hati’.
Selain itu, terdapat juga pemandu yang memanggil kanak-kanak berkenaan untuk memberikan wang secara terus sebagai wang belanja.
Kanak-kanak tersebut turut dilihat membawa buku aktiviti mewarna dan melukis bagi mengisi masa sementara menunggu sumbangan daripada orang ramai.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan mendakwa berasal dari Pantai Timur.
“Buat masa ini, lelaki tersebut tidak ditahan, namun amaran keras telah diberikan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya perbuatan sama berulang.
“Sekiranya berdepan masalah kewangan atau kekurangan makanan, gunakan saluran bantuan yang sah dan jangan sesekali melibatkan kanak-kanak dalam situasi seperti ini,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



