BERITA SEMASA

Hujan akhirnya membasahi Perlis selepas lebih 100 hari kemarau

PADANG BESAR – Selepas berdepan cuaca panas berpanjangan tanpa hujan selama lebih tiga bulan, beberapa kawasan di Perlis akhirnya menerima taburan hujan petang semalam yang memberi kelegaan kepada penduduk.

Antara lokasi yang dilaporkan menerima hujan termasuk Santuari Ikan Air Tawar Tasik Timah Tasoh, Beseri, Bukit Jernih, Batu Bertangkup, Belukar Lenga, Kubang Tiga, Bukit Chabang dan Semadong, memetik laporan Berita Harian.

perlis hujan
Pelaksanaan Solat Sunat Istisqa pada 26 Mac lalu yang dihadiri Tuanku Syed Sirajuddin. 

Hujan tersebut turut dilihat sebagai jawapan kepada doa rakyat negeri itu susulan pelaksanaan Solat Sunat Istisqa pada 26 Mac lalu, yang dihadiri Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bersama lebih 1,000 jemaah.

Ketika majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor berkata, solat itu adalah antara ikhtiar negeri sewaktu berhadapan cuaca panas melampau sejak Januari lalu.

Sebelum ini, keadaan cuaca panas melampau serta penyusutan paras air di Empangan Timah Tasoh menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan hidup ribuan ikan air tawar di sangkar santuari empangan berkenaan.

Fenomena kemarau berpanjangan itu juga mendedahkan semula kawasan perkampungan lama yang sebelum ini tenggelam di dasar tasik, sekali gus mencetuskan pemandangan unik dan menarik kehadiran pengunjung.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, takungan air di empangan berkenaan dianggarkan hanya mampu bertahan sekitar 81 hari lagi sekiranya keadaan tanpa hujan dan cuaca panas berterusan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button