Bisnes & Ekonomi

Bilioner DXN kongsi rahsia modal kecil mampu berjaya

CYBERJAYA – Modal permulaan menjadi antara ‘beban’ paling berat yang perlu ditanggung sebelum seseorang berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Tidak kira sama ada secara kecil, sederhana atau besar, soal modal sering menjadi perkara utama yang perlu diteliti dan dirancang sehabis baik.

Tanpa perancangan atau mungkin sedikit pengalaman dalam selok belok perniagaan, wang yang dilabur mungkin hangus tanpa pulangan. Lebih teruk lagi kalau ada yang sampai berhutang.

Menyedari kos perniagaan yang sering menjadi penghalang untuk orang ramai menceburi dunia perniagaan, DXN Holdings Berhad baru-baru ini menganjurkan hari jualan but kereta atau car boot sale.

DXN Car Boot Sale Cyberville yang diadakan di bangunan DXN di Jalan Teknokrat 1, di sini pada Ahad lalu berlangsung meriah dengan penyertaan kira-kira 70 peniaga yang datang dari seluruh Lembah Klang dan juga Negeri Sembilan dan Melaka.

Acara jualan di tempat letak kenderaan itu merupakan penganjuran kali kedua dan dijangka akan diteruskan sebagai acara bulanan.

Pelbagai barangan dijual oleh peserta yang dari produk makanan dan minuman, kesihatan, kosmetik, kelengkapan rumah dan pakain terpakai, tumbuhan hiasan, hobi dan sebagainya.

Kemeriahan DXN Car Boot Sale kali ini juga dimeriahkan dengan persembahan artis, aksi badut dan ruang aktiviti untuk kanak-kanak.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DXN, Datuk Dr. Lim Siow Jim berkata, penganjuran acara itu bertujuan untuk memberi peluang dan tempat kepada orang ramai untuk berniaga pada hujung minggu.

Katanya, keperluan serta syarat memulakan perniagaan yang agak rumit di luar sana kadang-kala ‘mematikan’ minat orang ramai untuk berniaga.

Justeru, penganjuran jualan di kawasan berbumbung dengan kadar sewa tapak (RM50) itu diharap dapat menggalakkan orang ramai untuk mula berniaga, bertepatan dengan prinsip perniagaannya “Start Small, Think Big”.

Dr. Lim berkata, salah satu daripada resipi kejayaan dalam keusahawanan adalah perancangan kewangan dan juga operasi yang sebenarnya tidak memerlukan modal terlalu besar.

“Saya selalu berpegang pada prinsip – kita tidak memerlukan modal yang besar untuk berjaya, asalnya kita punya impian itu besar.

“Setiap syarikat yang besar pada hari ini mesti mula dari kecil. Tidak ada usahawan yang terus mula dengan besar,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Beliau berkata, penyertaan dalam Car Boot Sale itu adalah peluang terbaik bagi peniaga untuk memperkenalkan produk tanpa kos yang terlalu tinggi.

“Peluang seperti ini juga tidak sama dengan jualan secara dalam talian kerana boleh bertemu dengan pelanggan secara bersemuka.

“Malah inilah teknik yang DXN gunakan sejak dari dahulu sehingga menjadi syarikat pengeluar kopi yang popular di serata dunia,” ujar beliau.

Selain itu katanya, platform yang disediakan itu juga diharap dapat memeriahkan aktiviti hujung minggu penduduk khususnya di Cyberjaya dan daerah sekitarnya.

“Saya bertemu dengan beberapa peniaga, ramai yang daripada mereka tidak pernah berniaga dan menjadikan acara ini pengalaman pertama mereka.

“Tidak kurang juga yang sekadar mahu beraktiviti dengan keluarga dan memberi pendedahan perniagaan kepada anak-anak,” katanya.

DXN yang bertapak sejak lebih 30 tahun di negara ini merupakan syarikat berkonsepkan multi level marketing (MLM) dengan pengkhususan produk berasaskan Ganoderma, Spirulina dan Noni (buah mengkudu).

Dengan jualan kira-kira RM2 bilion setiap tahun dan mempunyai pasaran di lebih 180 negara dan 14 juta ahli, DXN merupakan syarikat MLM antara terbesar di dunia dan paling lama bertahan di negara ini.

Show More

Related Articles

Back to top button