Empat misi Pelan Induk Perindustrian Baharu dilancarkan
KUALA LUMPUR – Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfokuskan empat misi dalam pemacuan transformasi industri berskala besar negara.
Anwar berkata, misi pertama adalah untuk meningkatkan kepelbagaian ekonomi, menggalakkan inovasi dan mengeluarkan produk yang lebih canggih. Usaha ini dapat meningkatkan tahap persaingan negara di peringkat global.
Misi kedua adalah untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara digital untuk memacu inovasi, meningkatkan produktiviti, dan mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi.
Misi ketiga adalah untuk mencapai pelepasan sisa sifar yang memberi penekanan kepada usaha untuk berdepan dengan perubahan iklim.
Misi terakhir adalah untuk melindungi keselamatan ekonomi dan keterangkuman ekonomi.
“Misi ini bertujuan mewujudkan persekitaran yang membolehkan jaminan kepada keselamatan rantaian bekalan, menyokong perusahaan kecil sederhana (PKS) dan menggalakkan penyertaan saksama dalam aktiviti ekonomi di semua negeri,” katanya ketika melancarkan NIMP 2030.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz dan menteri Kabinet.
Menurut Perdana Menteri, NIMP 2030 dijangka meningkatkan nilai tambah dalam sektor pembuatqn mencecah RM587.5 bilion menjelang 2030.
Jelasnya, jumlah itu dijangka berkembang sehingga 6.5 peratus daripada yang diperoleh negara hari ini.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 61 peratus yang diperolehi oleh intervensi NIMP 2030 untuk sektor berimpak tinggi elektrikal dan elektronik (E&E), Kimia, EV, Aeroangkasa, Farmaseutikal dan Bahan Termaju, seperti Mineral dan Logam,” katanya.
Dalam ucapannya Perdana Menteri berkata, usaha mengubah sektor industri bukan sahaja memerlukan penglibatan jentera kerajaan, tetapi juga sektor swasta.
Katanya lagi, Kerajaan akan memastikan pelan yang dirancang dapat dilaksana dengan telus, dan akan membawa keuntungan bukan sahaja kepada sektor swasta melalui prospek perdagangan dan pelaburan yang lebih baik, tetapi juga kepada rakyat melalui penyediaan pekerjaan berkemahiran dan bernilai tinggi.