BERITA SEMASA

Ringgit makin kukuh, cecah paras RM3.92 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR – Selepas sekian lama berlegar pada paras melebihi RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), nilai Ringgit Malaysia (RM) kini mencatatkan pengukuhan ketara apabila mencecah sekitar RM3.92 bagi AS$1, hari ini.

Berdasarkan paparan penukar mata wang XE.com, kadar pertukaran semasa menunjukkan AS$1 bersamaan RM3.9225, berbanding sekitar RM3.95 pada hari sebelumnya.

Perkembangan itu dianggap luar biasa, memandangkan ringgit sebelum ini melalui tempoh penyusutan yang panjang akibat ketidaktentuan ekonomi global, tekanan inflasi serta pengukuhan dolar AS di pasaran antarabangsa.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ringgit sering diniagakan pada paras melebihi RM4 berbanding dolar AS, dipengaruhi faktor seperti dasar monetari agresif Amerika Syarikat, aliran keluar modal serta ketidaktentuan geopolitik global.

Justeru, pengukuhan ke bawah paras RM4 ini disifatkan sebagai satu perkembangan yang signifikan.

Perubahan tersebut mencetuskan reaksi pelbagai dalam kalangan netizen yang rata-rata meluahkan rasa terkejut dan teruja dengan prestasi semasa mata wang negara.

“Tak sangka ringgit boleh turun sampai bawah RM4, macam mimpi,” tulis seorang pengguna media sosial.

“Kalau betul ekonomi makin stabil, rakyat harap harga barang pun ikut turun,” komen seorang lagi netizen.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa kewangan berhubung pengukuhan tersebut.

Namun, pemerhati ekonomi berpendapat sentimen positif pasaran global, kestabilan dasar domestik serta aliran masuk pelaburan asing antara faktor yang menyumbang kepada prestasi ringgit ketika ini.

Penganalisis turut menjangkakan pergerakan mata wang negara akan terus dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi global, dasar kadar faedah AS serta keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia dalam tempoh terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button