Guan Eng mahu pertahan kerusi untuk mentor pemimpin DAP akan datang
GEORGE TOWN – Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata, beliau bertanding pada PRN di Pulau Pinang kali ini kerana sayangkan negeri dan mahu menjadi mentor kepada ahli partinya yang akan jadi pemimpin.
Lim yang bertanding di Air Putih menyasarkan menjadi Adun buat penggal keempat berturut-turut, walaupun sudah menjadi Ahli Parlimen sejak 1986, dan pemimpin terkemuka di peringkat nasional.
Katanya lagi, beliau akan menyelia peralihan kepimpinan dalam parti.
“Saya rasa peranan saya lebih kepada mengukuhkan asas kepimpinan, penggantian pemimpin dan peralihan. Bagi setiap pemimpin, sangat penting ada perancangan untuk pengganti. Jika tidak, anda akan gagal.
“Selepas Chow Kon Yeow, akan ada ketua menteri baharu, jadi mesti sediakan asas untuk penggantinya.
“Ini tidak boleh dijayakan seorang diri, mesti ada satu pasukan,” katanya dalam temu bual dengan FMT.
Lim berkata, pendekatan solo tidak akan mencukupi untuk pertumbuhan dan pembangunan jangka panjang, manakala usaha berpasukan boleh memacu matlamat DAP ke peringkat seterusnya.
Beliau membuat perbandingan persamaan dengan peralihan kepimpinan yang berjaya di negara lain, terutamanya Singapura, di mana perancangan penggantian membawa kesan positif.
Katanya, pasukan baharu di Pulau Pinang, jika dipilih, memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, belajar dan menimba pengalaman.
“Pulau Pinang ‘permata’ DAP. Kami mahukan pasukan terbaik yang kami ada untuk peringkat seterusnya, dan generasi pemimpin seterusnya di Pulau Pinang,” katanya.
Lim berkata, inilah sebabnya setiausaha agung parti, Loke Siew Fook dan Naib Pengerusi Kebangsaan Nga Kor Ming dan Chong Chieng Jen masing-masing mengekalkan kedudukan mereka di Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak.
Bagaimanapun, jika dipilih, katanya, beliau tidak akan menerima jawatan Exco, menegaskan bahawa beliau akan berkhidmat sebagai mentor kepada muka baharu.
Berhubung kebimbangan yang dibangkitkan oleh adiknya, Hui Ying, mengenai undi Cina untuk pembangkang, Lim berkata, perkara itu menjadi peringatan kepada DAP dan PH supaya tidak leka.
Beliau berkata, isu utama sekarang adalah bagaimana rakyat Pulau Pinang melihat PRN kerana ini boleh menyebabkan peratusan penyokong PH keluar mengundi rendah.
Ini boleh mendatangkan malapetaka, katanya, kerana Perikatan Nasional (PN) boleh mengalahkan PH dengan mudah jika ini berlaku. Tambahnya, jika sokongan PH menurun sebanyak 20%, persaingan akan menjadi sengit.
“Di situlah bahayanya. Saya pasti PN sangat sibuk,” katanya sambil menambah, beliau melihat gambaran besar dan mahu menjadikan Pulau Pinang selamat untuk generasi akan datang.
Lim berkata, ini bermakna mengekalkan kepelbagaian Pulau Pinang, sebagai negeri yang penuh toleransi dan saling menghormati, ditadbir oleh pengurus ekonomi yang cekap.
Sepanjang tiga penggal lalu, bekas ketua menteri itu menang selesa di DUN Air Putih. Pada 2018, majoritinya hampir 8,000, memperoleh lebih 85% undian, dengan mudah menyingkirkan tiga pencabar.
Kali ini, beliau akan berdepan bekas ahli DAP Teh Yee Cheu, kini calon Parti Rakyat Malaysia, dan Ivan Koh daripada PN.
Kini, terdapat 15,371 pengundi layak di DUN tersebut, hampir 1,900 lebih daripada 2018, selepas usia minimum mengundi diturunkan kepada 18 tahun. Air Putih terdiri daripada 80% Cina, 9.8% Melayu dan 8.7% India.