
Real, Arsenal, Spurs mula kempen Liga Juara-Juara UEFA dengan langkah kanan
MADRID – Kylian Mbappe muncul wira apabila menjaringkan dua gol penalti untuk membantu Real Madrid menewaskan Marseille 2-1 dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara UEFA biarpun beraksi dengan 10 pemain, awal pagi tadi.
Real Madrid dikejutkan seawal minit ketiga apabila Trent Alexander-Arnold mengalami kecederaan hamstring sebelum penggantinya, Dani Carvajal, pula dilayangkan kad merah pada minit ke-72 selepas insiden dengan penjaga gol Marseille, Geronimo Rulli.
Marseille terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-22 menerusi jaringan Timothy Weah selepas Mason Greenwood merampas bola daripada Arda Guler.
Walau bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan enam minit apabila Mbappe menyempurnakan sepakan penalti selepas Rodrygo dijatuhkan Geoffrey Kondogbia.
Real akhirnya mengesahkan kemenangan apabila Facundo Medina melakukan kekasaran terhadap Vinicius Jr di dalam kotak penalti, sekali lagi memberi ruang kepada Mbappe untuk menyempurnakan jaringan kemenangan.
Juara Eropah 15 kali itu kini mengintai peluang merebut kembali trofi selepas tewas di suku akhir musim lalu.
Real bakal berdepan Kairat di Kazakhstan pada 30 September, manakala Marseille melayani kunjungan Ajax.
Dalam satu lagi perlawanan, Arsenal bermula cemerlang selepas menewaskan Athletic Club 2-0 di Bilbao.
Gabriel Martinelli hanya memerlukan 36 saat selepas dimasukkan untuk membuka jaringan pada minit ke-71, sebelum Leandro Trossard menambah gol kedua hasil gerakan sama pada minit ke-86.
Kemenangan itu memberi permulaan sempurna buat skuad Mikel Arteta yang kembali ke Liga Juara-Juara dengan keyakinan tinggi selepas pelaburan besar dalam skuad musim panas ini.
Satu lagi wakil EPL, Tottenham mencatat kemenangan tipis ke atas Villarreal selepas kesilapan penjaga gol lawan, Luiz Junior pada minit keempat.
Aksi sulung pengurus baharu, Thomas Frank dalam kejohanan elit Eropah bermula itu cemerlang apabila hantaran Lucas Bergvall gagal ditangkap kemas Junior lalu terbias masuk ke gawang sendiri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








