Pernas kekal di bawah Kuskop – Ewon Benedict
KUALA LUMPUR – Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) akan terus kekal di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) seperti yang telah diputuskan oleh Kabinet awal tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, siri perbincangan kementeriannya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Disember tahun lepas menyatakan Pernas akan terus kekal di bawah Kuskop.
“Oleh itu, keputusan meletakkan Pernas sebagai agensi di bawah Kuskop telah diwartakan dan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet awal tahun ini dan saya percaya keputusan itu harus kekal.
“Bagaimanapun, sekiranya ada hasrat KPDN untuk berbincang lebih lanjut, Kuskop sedia berjumpa dan menyatakan pandangan kita seperti mana yang telah kita nyatakan pada pertemuan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah The Jardin Sentul, di sini hari ini.
Pada 7 Julai lepas, Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, KPDN sedang berusaha mengembalikan Pernas di bawah seliaan kementerian itu bagi mengurangkan kecelaruan dalam penyelarasan industri francais.
Menurut Salahuddin, buat masa ini akta berkaitan francais termasuk pendaftaran berada di bawah seliaan KPDN manakala latihan dan bimbingan berkaitan pembangunan francais di bawah kuasa KUSKOP.
Ewon berkata kedua-dua kementerian harus memfokuskan kepada fungsi dan perkhidmatan masing-masing dalam membangunkan industri francais.