Kit Binujar 4.0: Inovasi digital pendidikan tempatan raih pengiktirafan antarabangsa
PUTRAJAYA – Usaha murni seorang guru muda, Muhammad Shahrol Harun bersama pasukannya dalam memartabatkan inovasi pendidikan tempatan membuahkan hasil apabila Kit Binujar 4.0, sebuah alat bantu mengajar interaktif berjaya meraih pengiktirafan di pentas antarabangsa.
Mewakili Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1), pasukan Aplikasi Binujar telah mencipta sejarah apabila memenangi empat anugerah utama dalam pertandingan International Innovation & Invention Competition Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) (IICE) 2024.

Acara yang berlangsung di UTHM, Johor itu turut disertai negara Jepun, Thailand, Indonesia dan India.
Anugerah yang diterima termasuklah Anugerah Emas, Anugerah Pencipta Muda, Anugerah Pendidikan Terunggul dan Anugerah Khas Ketua Kejuruteraan Elektronik.
Kejayaan itu kemudian turut disusuli dengan kemenangan emas dalam pertandingan Edu@Innovate International Education Innovation Competition 2025 di Universiti Perguruan Sultan Idris (USPI), Perak hasil pembentangan cemerlang oleh enam murid yang mewakili SKPP18(1).

Mereka ialah Rania El Zara Shazan Kamarul Ariffin, Raja Auni Safiyya Raja Mohd Zulfadli , Muhammad Ammar Ziqry Mohd Iskandar, Sumayyah Budi Mawardi, Wan Muhammad Muqqri Wan Moho Faizal dan Puteri Nur Shaheera.
Malah lebih membanggakan Rania El Zara merupakan pelajar Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang tampil membuat pembentangan dengan penuh yakin dan memberi inspirasi.
“Alhamdulillah, ini adalah rezeki dan hasil kerjasama berpasukan serta komitmen untuk memperkasakan pendidikan inklusif,” ujar Cikgu Shahrol ketika dihubungi Malaysia Tribune.
Beliau juga lebih dikenali sebagai Sir Raden dalam Tutor MCPlus dan merupakan Cikgu Juara Digital dan Edufluencer yang aktif berkongsi ilmu di platform media sosial.
Asal usul Kit Binujar

Menurut Sir Raden, Kit Binujar merujuk kepada singkatan ‘Bijak Menulis Abjad Berekor’.
“Ia merupakan inovasi yang dibangunkan khusus bagi membantu murid yang menghadapi cabaran menulis huruf-huruf seperti ‘g’, ‘j’, ‘p’, ‘q’ dan ‘y’ yang dibina bersama Cikgu Farahwahida dan Cikgu Siti Farah.
“Lembaran kerjanya direka dengan garisan berwarna hijau, kuning dan merah mirip konsep lampu isyarat bagi memudahkan pemahaman murid tentang struktur huruf dan garis panduan menulis,” jelasnya.
Transformasi ke era digital: Kit Binujar 4.0
Dari alat bantu fizikal, inovasi itu kini berevolusi menjadi Kit Binujar 4.0, sebuah aplikasi digital yang mengintegrasikan pembelajaran berasaskan permainan (game-based learning).

Kit itu juga telah disesuaikan dengan enam tahap Taksonomi Bloom, iaitu:
1. Mengingat – mengenalpasti fakta.
2. Memahami – menunjukkan kefahaman.
3. Mengaplikasi – menggunakan maklumat dalam situasi baharu.
4. Menganalisis – memecahkan maklumat.
5. Menilai – membuat keputusan.
6. Mencipta – menghasilkan idea atau solusi.
“Kit ini bukan sekadar digitalisasi alat bantu mengajar, tetapi satu ekosistem pembelajaran menyeluruh yang merangkumi buku fizikal dan aplikasi interaktif, sekali gus menjadikannya fleksibel digunakan sama ada di sekolah mahupun di rumah,” ujar Sir Raden lagi.
Diguna di sekolah, rumah dan untuk semua
Mengulas lanjut, Sir Raden memberitahu, Kit Binujar 4.0 direka untuk memenuhi keperluan pelbagai kumpulan pelajar.

“Antaranya ialah murid pra-sekolah PPKI, murid dengan keperluan khas seperti Autisme dan ADHD serta murid yang memerlukan pendekatan pembelajaran visual dan berstruktur.
“Di sekolah, guru menggunakan Buku Binujar sebagai alat bantu mengajar harian manakala di rumah, ibu bapa dan murid boleh mengakses aplikasi digital untuk pengulangan kendiri dalam suasana yang menyeronokkan,” jelasnya.
Menempa nama, membina harapan
Melalui inisiatif tersebut, Sir Raden dan pasukannya bukan sahaja membuktikan bahawa guru di peringkat sekolah rendah mampu mencipta impak besar, malah memperlihatkan bahawa inovasi pendidikan dari Malaysia mampu bersaing di pentas global.

“Kit Binujar 4.0 bukan hanya alat bantu belajar, tapi satu manifestasi cinta kepada pendidikan inklusif dan teknologi tempatan,” ujar beliau.
Tambah beliau, mereka juga akan menyertai pertandingan peringkat antarabangsa di Universiti Seoul, Korea Selatan pada bulan Julai depan.
“Insya-Allah, doakan kami mampu membawa nama Malaysia ke pentas dunia,” kata Sir Raden semangat.
Dengan pengiktirafan antarabangsa yang diterima, Kit Binujar 4.0 kini berada di landasan kukuh untuk diperluaskan penggunaannya ke sekolah-sekolah lain di seluruh negara sekali gus membawa harapan baru kepada murid-murid yang memerlukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
