Portal anwaribrahim.com bukan digodam
Domain tamat tempoh, 'dijaga sementara' oleh Newswav
CYBERJAYA – Portal rasmi Perdana Menteri, anwaribrahim.com tidak digodam sebaliknya domain tersebut telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui langganannya.
Portal newswav dalam laporannya berkata, terdahulu mereka menerima maklumbalas daripada pembaca bahawa portal rasmi Perdana Menteri telah digodam oleh pihak tidak bertanggung jawab.
Pemeriksaan Malaysia Tribune menerusi Wayback Machine mendapati, paparan portal tersebut masih seperti sediakala pada 22 Januari tahun ini.
Namun, pemeriksaan pada bulan berikutnya mendapati, portal tersebut telah ‘hilang’.
“Ada pembaca memberitahu kami, laman web tersebut telah digodam, kerana paparannya bukan lagi seperti asal.
“Namun, setelah pemeriksaan dijalankan, kami dapati domain laman web tersebut telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui (langganannya),” kata Newswav dalam laporan berita tersebut.
Bagi mengelakkan domain tersebut jatuh ke tangan pihak tidak bertanggung jawab dan digunakan bagi tujuan yang tidak elok, pengendali portal berita itu membuat keputusan untuk membeli domain tersebut.
“Domain tersebut berisiko untuk dibeli oleh pihak lain, jadi kami mengambil inisiatif untuk membelinya dahulu.
“Ya betul, Newswav kini (buat sementara waktu) merupakan pemilik sah (domain) anwaribrahim.com.
“Keputusan ini diambil bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawab daripada menyalahgunakan domain tersebut dan memfitnah PMX kita di atas talian,” katanya.
Sehubungan itu, pihak Newswav meminta Pejabat Perdana Menteri menghubungi mereka utuk mendapatkan kembali domain tersebut.
“Kepada PMX, kalau anda sedang baca (laporan) ini, atau kalau ada sesiapa dari pasukan PMX yang sedang scroll Newswav sila hubingi kami. Emel sahaja ke hello@newswav.com dan kita boleh bincang.
“Hanya bantu kami pulangkan kos yang telah dikeluarkan, dan kami akan serahkan domain tersebut.
“(Kepada pembaca) Kalau anda kenal sesiapa di pejabat PMX, tolong panjangkan artikel ini kepada mereka!
“Atau tag mereka, kongsikan, ciap di Twitter, apa saja yang boleh bantu sampaikan mesej kecil ini ke inbox yang betul,” kata laporan tersebut lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








