Haji 2025: Jemaah Malaysia tidak perlu pamer pasport di KLIA
PUTRAJAYA – Bermula tahun ini, jemaah haji Malaysia tidak lagi perlu mempamerkan pasport ketika melepasi pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sebaliknya, pergerakan para jemaah untuk ke balai pelepasan akan dipermudahkan dengan imbasan kod QR MyBorderPass menggunakan sistem Makkah Route.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata, kemudahan yang akan digunakan para jemaah bagi musim haji 1446H/2025M itu adalah pendekatan kali pertama digunakan dalam sejarah pengurusan haji negara.
“Antara kelebihan penggunaan sistem baharu ini ia membolehkan para jemaah membuat semakan awal sekatan perjalanan melalui aplikasi MyBorderPass.
“Selain itu, tempoh pelepasan imigresen yang lebih pantas antara 5 hingga 7 saat berbanding 15 hingga 25 saat melalui autogate konvensional.
“Paling utama, ia juga meningkatkan keselamatan dan kecekapan perkhidmatan melalui penggunaan teknologi terkini serta mengurangkan ketirisan,” menurut kenyataan tersebut.
KDN turut menggesa para jemaah haji yang akan berangkat pada tahun ini supaya memuat turun dan mendaftar aplikasi MyBorderPass yang kini tersedia di Apple App Store dan Google Play Store.
Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif tersebut diyakini akan meningkatkan mutu perkhidmatan Jabatan Imigresen serta menyumbang kepada kelancaran dan keselesaan perjalanan para jemaah ke Tanah Suci.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








