BERITA SEMASA

Remaja koma selepas kemalangan, ibu rayu bantuan

JOHOR BAHRU – “Dalam sekelip mata, Mia kini dalam keadaan kritikal termasuk pecah tempurung kepala,” kata Noralisa Mohd Sazali, 37, ibu kepada pelajar tingkatan tiga, Mia Qaisara Abdullah, 15, yang masih koma selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Skudai, di sini, pada 10 Mac lalu.

Menurut Noralisa, anak tunggalnya itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) sejak dua minggu lalu dan bergantung kepada bantuan mesin oksigen.

“Sebahagian tempurung kepalanya sudah dikeluarkan dan dijangka akan dipasang semula selepas tempoh tertentu.

“Selain itu, urat kaki kirinya putus serta mengalami kecederaan di leher dan dada,” katanya memetik laporan Komuniti Johor.

Noralisa berkata, Mia dipercayai diajak rakan sekolahnya untuk melawat seorang kenalan di hospital sebelum motosikal yang dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta.

“Saya tidak menyedari Mia keluar rumah kerana rakannya hanya meminta untuk menumpang tidur selama dua malam atas alasan masalah keluarga.

“Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan adik lelaki meminta saya memeriksa sama ada Mia berada di biliknya sebelum mendapat tahu dia mengalami kemalangan,” katanya lagi.

Menurut Noralisa, rakan Mia meminjam motosikal daripada seorang penduduk kampung atas alasan ada urusan kecemasan sebelum kejadian itu berlaku.

“Kami amat bimbang melihat keadaannya dan juga masa depannya.

“Kami hanya mampu berdoa agar dia cepat sedarkan diri dan kembali bersekolah,” katanya lagi.

Noralisa yang bekerja di sebuah kilang, mengakui buntu memikirkan keperluan Mia selepas sedar nanti, termasuk lampin pakai buang dan susu khas.

“Selain Mia, saya juga menanggung ibu saya, Aisha Rosmin, 73, yang uzur,” katanya lagi.

Terdahulu, keluarga Mia menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Permata Baiduri Malaysia, Faridah Hamzah, yang menyampaikan sumbangan wang tunai bagi meringankan beban mereka.

Sementara itu, Aisha menyatakan kerinduannya terhadap cucunya yang selama ini menjaganya ketika ibunya keluar bekerja.

“Saya tidak dapat melawatnya kerana faktor kesihatan. Saya hanya mampu berdoa agar Allah memberi kesembuhan kepadanya,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button