Polis tolak unsur mistik dalam kejadi kanak-kanak pandu Vios
LANGKAWI – Polis menafikan dakwaan terdapat elemen mistik atau ghaib dalam kejadian dua adik-beradik berusia 6 dan 3 tahun memandu kereta milik keluarga sehingga terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Bukit Tangga, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, selepas siasatan dilakukan, pihaknya mendapati kanak-kanak berkenaan mengetahui fungsi asas memandu iaitu menghidupkan enjin, menekan pedal minyak dan stereng.
“Kanak-kanak itu tahu dan boleh menunjukkan cara memandu kereta termasuk cara menghidupkan enjin, menjatuhkan brek tangan dan mengawal stereng.
“Rakaman daripada kamera papan pemuka (dashcam) juga mendapati pemanduan mereka tidak begitu stabil dan memasuki arah laluan bertentangan.
“Kita tidak mengambil kira sebarang unsur mistik dalam kejadian ini seperti yang ditularkan di laman media sosia,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Shariman berkata, keterangan daripada kanak-kanak itu dilakukan selepas kedua-duanya hadir di Balai Polis Trafik Langkawi bersama ibu bapanya.
Semalam, media melaporkan dua kanak-kanak lelaki bersama-sama memandu kereta Vios sejauh 2.5 kilometer sebelum terlibat dalam pelanggaran tiang lampu.
Susulan kejadian itu, tular pula rakaman audio di media sosial dipercayai satu perbualan seorang wanita dengan kanak-kanak yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Di dalam rakaman tersebut, kanak-kanak berkenaan dikatakan mengaku bahawa bukan mereka sebenarnya yang memandu tetapi oleh seorang yang dipanggil pak cik dan tok wan yang mempunyai badan berbulu.