
11,335 sukarelawan ICT Malaysia dilatih MCMC sejak 2016
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui inisiatif sukarelawan ICT Malaysia atau Malaysia ICT Volunteer (MIV) telah merekrut dan melatih 11,335 sukarelawan sejak diperkenalkan pada tahun 2016.
Menurut MCMC, pihaknya menyasarkan untuk merekrut 1,500 sukarelawan di seluruh negara pada tahun ini.
“Bagi memastikan maklumat diterima kepada semua lapisan masyarakat mencakupi penduduk di luar bandar, para sukarelawan MIV terdiri daripada guru-guru sekolah rendah dan sekolah menengah, pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi, dan ahli komuniti setempat.
“Selain daripada memperkasakan komuniti dengan kemahiran literasi digital, sukarelawan MIV turut menyokong pelaksanaan inisiatif keselamatan dalam talian MCMC iaitu Klik Dengan Bijak (KDB) dengan meningkatkan kesedaran serta memberi pendidikan mengenai penggunaan internet yang positif, produktif dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, antara topik KDB yang dikongsi kepada komuniti termasuklah buli siber, jenayah penipuan dalam talian, serta perlindungan kanak-kanak dalam talian.
Ujarnya, inisiatif ini mendidik pengguna internet khususnya dalam kalangan pelajar untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa.
“Sesi perkongsian KDB turut melibatkan para guru dan ibu bapa supaya mereka dapat menyampaikan mesej keselamatan kepada kanak-kanak termasuk golongan kurang upaya dan mereka
yang berisiko terdedah kepada ancaman dalam talian.
“Pelaksanaan MIV ini memperlihatkan kerjasama MCMC dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Kesihatan. Inisiatif MIV turut diperluaskan di komuniti yang mempunyai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Pada tahun lalu, sebanyak 498 program MIV telah dilaksanakan di seluruh negara dengan capaian audiens lebih 2.3 juta.
Sementara itu, bagi program KDB pula, 569 program dilaksanakan tahun lalu dengan capaian audiens melebihi 540,000.
“MCMC akan terus memperhebatkan program-program advokasi bagi menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat mengenai penggunaan internet yang selamat dan bertanggungjawab.
“Individu yang berminat untuk menjadi sukarelawan MIV boleh mendaftar di https://miv.mcmc.gov.my/en/application/registration,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |