Influencer buat laporan polis, terkejut bayar ganti rugi kerosakan jet ski RM13,000
KUALA LUMPUR – Seorang pempengaruh media sosial yang dikenali dengan nama NgekTsai membuat laporan polis selepas terpaksa membayar ganti rugi jet ski yang rosak bernilai RM13,000 ketika bercuti di Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran dalam laman Facebooknya, Ngek Tsai berkata, pada mulanya dia sedia bertanggungjawab dan mahu mengakui kesalahan dengan harapan syarikat berkenaan sudi berunding untuk menerima ganti rugi lebih rendah, tetapi sebaliknya berlaku.
“Dipendekkan cerita, kemalangan berlaku disebabkan kecuaian sendiri. Maka pecahlah satu bahagian jet ski yang dipakai. Saya abaikan nasihat kawan yang sedang panik dan meminta mendiamkan hal ini serta jumpa pekerja syarikat untuk bertanggungjawab.
“Alhamdulillah mereka menerimanya dengan baik tanpa meninggi suara atau berkasar, malah memberikan jet ski baharu untuk saya habiskan baki masa bermain.
“Selepas itu, saya kembali menyerah diri. Tapi yang membuat saya terkedu adalah ganti rugi perlu dibayar berjumlah RM15,000. Ejen saya telah bercakap dengan bos dan merayu dikurangkan bayaran dari RM15,000 ke RM13,000, tetap banyak,“ katanya.
Jelas lelaki berasal dari Sarawak itu, dia berat hati untuk mengeluarkan amaun sebanyak itu dalam masa satu hari berikutan had pengeluaran setakat RM9,000 sahaja dan meminta memulangkan baki RM4,00 keesokan hari.
Bagaimanapun, pemilik syarikat jet ski enggan mempercayainya dengan mengatakan bayaran penuh mesti diselesaikan pada hari sama.