Jenayah & Mahkamah

Polis Johor tumpaskan sindiket tawar kad pemastautin tetap palsu

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket yang menawarkan kad pemastautin tetap palsu dengan caj RM7,000 bagi setiap pelanggan.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di beberapa premis sekitar Kulai, Seri Alam, Johor Bahru dan Kajang, Selangor berjaya menahan 13 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan berkenaan.

Beliau memberitahu, operasi selama tiga hari bermula Sabtu lalu itu dilakukan di premis-premis dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penjualan kad pemastautin tetap negara ini yang disyaki palsu kepada warga asing.

“Seramai 13 individu ditahan terdiri daripada enam warga tempatan dan tujuh warga asing berusia antara 27 hingga 44 tahun.

“Mereka berperanan sebagai pembuat, pengedar dan pembeli kad pemastautin tetap yang disyaki palsu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Turut dirampas, peralatan yang dipercayai digunakan untuk membuat kad pemastautin palsu.

“Antara yang dirampas sembilan kad pemastautin tetap, satu kad pengenalan disyaki palsu, satu kad perakuan nikah disyaki palsu dan tiga unit cap berlogo agensi kerajaan disyaki palsu.

“Ia termasuk sembilan keping gambar berukuran pasport, 10 unit telefon bimbit, dua set komputer, sebuah komputer riba, dua mesin pencetak dan sebuah mesin membuat cap getah selain beberapa keping kertas disyaki digunakan untuk mencetak kad palsu,” katanya.

Jelas beliau, sindiket dipercayai beroperasi sejak September lalu dan mengenakan bayaran RM7,000 bagi setiap pelanggan dengan menyasarkan warga asing yang masuk dan tinggal di negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Kes disisasat mengikut Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, serta Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1959 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

“Seorang suspek warga tempatan akan didakwa mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1959 kerana memiliki kad pengenalan palsu.

“(Manakala) Seorang lagi suspek akan dituduh mengikut Seksyen 89 Akta Polis kerana memiliki cap getah logo polis tanpa kebenaran di mahkamah Majistret Kulai, hari ini,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button