Polis tahan anak saudara bantu siasatan kes wanita disyaki dibunuh
IPOH – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berikutan penemuan jasad seorang wanita yang sudah membusuk dalam sebuah bilik di Taman Puteri Lindungan Bintang, Pasir Puteh, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki berusia 21 tahun itu merupakan anak saudara kepada mangsa.
“Hasil saringan air kencing mendapati lelaki terbabit negatif dadah selain tiada rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, pihak polis yang menerima aduan dari orang awam mengenai bau busuk dari sebuah rumah di taman berkenaan.
Pemeriksaan ke atas sebuah bilik dalam rumah tersebut kemudiannya menemukan jasad wanita yang sudah membusuk, dipercayai akibat dibunuh.
“Pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati jasad mangsa dalam keadaan membusuk dan dihantar terus ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat dijalankan bagi mengetahui punca kematian,” katanya lagi.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Sehubungan itu katanya, pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes terbabit tampil memberi keterangan.
Menurutnya, mana-mana pihak boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintenden S Dasarathan di talian 012-5644484 atau ke balai polis berhampiran bagi siasatan lanjut.