Prestasi akademik ‘mencanak’ selepas anak main motocross
KOTA TINGGI – ‘Badan sihat, otak cerdas’. Ungkapan ini mungkin hanya sekadar satu peribahasa umum yang tidak begitu diberikan perhatian oleh sesetengah kita.
Namun faktor kesihatan dan kecergasan terbukti secara saintifik mampu melahirkan otak yang berfungsi dengan lebih baik, terutamanya dalam perkembangna awal kanak-kanak.
Bagi Mohd Rozaifri Mohd Radzi, 41, pelaburan masa dan wang ringgit yang dicurahkan kepada anaknya, Muhammad Rayyan, 12, melalui sukan motocross ternyata memberi pulangan ‘berbaloi’ selepas melihat perubahan drastik dalam prestasi akademiknya.
Katanya, bermula dengan pencapaian sekadar ‘cukup makan’ di dalam kelas, prestasi akademik Muhammad Rayyan mula meningkat selepas beberapa bulan mengikuti latihan sukan motocross.
“Daripada kedudukan pada nombor 20 dalam kelas, dia dapat nombor 5 sehingga cikgu dia sendiri pelik dan bertanyakan saya apa rahsia di sebalik perkembangan akademiknya. Sejak itu saya sedar betapa hebat sukan mampu mengubah otak anak-anak.
“Bukan itu sahaja, saya juga perhatikan cara pergaulan dia dengan orang lain yang bertambah baik dan dia menjadi semakin matang,” katanya.
Menceritakan penglibatan dalam sukan itu, Mohd Rozaifri berkata, anak lelakinya itu bermula sebagai pengganti kepada abangnya, Muhammad Riezthman Ajmal, 17, kira-kira dua tahun lalu selepas abangnya terlibat dalam satu kemalangan semasa latihan motocross.
“Rayyan bermula sebagai ‘krew’ abangnya tetapi selepas abangnya cedera dan tidak lagi boleh berlatih dia minta kebenaran untuk cuba.
“Walaupun usianya baru empat tahun ketika itu, saya beranikan diri untuk biarkan dia cuba dan ternyata dia mampu menunggang dengan baik,” katanya ketika ditemui pada Kejuaraan Motocross Malaysia (MMC) 2024 yang berlangsung di Litar Motocross Bandar Tenggara, di sini, hujung minggu lalu.
Untuk rekod, kejuaran sukan ektrem itu mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memperuntukkan geran padanan sukan untuk kegunaan penganjuran.
Mohd Rozaifri berkata, berbekalkan keyakinan itu dia kemudian membuat pelaburan lebih serius dengan membelikan sebuah motosikal yang lebih baik untuk Muhammad Rayyan.
“Berbekalkan semangat dan sokongan dari kami sekeluarga, Rayyan mula memasuki pertandingan dan beberapa kali memenangi posisi podium.
“Bagaimanapun pada pertandingan MMC 2024 hari ini (pusingan pertama) nasib tidak menyebelahinya kerana kerosakan jentera,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.
Sementara itu, Mohd Rozaifri menyeru KBS supaya terus mempromosikan sukan motocross yang suatu masa dulu cukup popular di negara ini.
“Saya bukan sekadar melihat pada kesan positif sukan pada perkembangan anak-anak muda tetapi kita perlu membangunkan sesuatu sukan secara serius dan bersistematik.
“Sebab itu kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peluang untuk sukan-sukan seperti ini berkembang terutama di peringkat akar umbi,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada seorang lagi pelumba motocross cilik, Fazlin Shamsudin berkata, sukan lasak itu memerlukan komitmen yang tinggi dari ibu bapa khususnya untuk penjagaan diet, latihan kecergasan pada setiap hari dan latihan menunggang pada setiap minggu.
Dari segi komitmen kewangan pula katanya, harga permulaan sebuah motosikal untuk kanak-kanak adalah sekitar RM,200, seterusnya sekitar RM3,800 dan jentera untuk perlumbaan kira-kira RM20,000 ke atas.
“Usia untuk mula berkecimpung pula adalah pada usia 4 tahun dan untuk masuk dalam pertandingan bermula pada usia 7 tahun,” kata ibu kepada salah seorang pelumba pasukan Dayzamx Racing Team.