Jenayah & Mahkamah

Kibar bendera asing di Johor: Polis buka kertas sisatan

JOHOR BAHRU – Polis membuka kertas siasatan susulan insiden mengibar bendera negara luar oleh sekumpulan individu dalam satu acara perarakan festival budaya antarabangsa di Sentosa, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata pihaknya menerima satu video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu berkenaan mengibarkan bendera negara luar, semalam.

Katanya, program berkenaan dianjurkan sebuah pertubuhan kebudayaan di Sentosa menghimpunkan penganut agama membabitkan lebih daripada 10 negara.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) telah menerima satu laporan polis berhubung pengibaran negara luar dalam perarakan itu jam 3 petang semalam.

“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita akan memanggil penganjur dan saksi-saksi terbabit acara berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi talian Hotline Johor Bahru selatan 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button