Jenayah & Mahkamah

Akibat bergurau, lelaki diperintah jalani khidmat masyarakat

TAWAU – Seorang pemandu lori diperintah menjalani hukuman khidmat masyarakat selama 360 jam oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana menyebabkan ketakutan awam apabila menyebut ‘mungkin ada bom’ di Lapangan Terbang Tawau, pada Julai lalu.

Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Sabrie Nulsarie, 39, mengaku bersalah atas pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu selama empat jam setiap hari, sepanjang tempoh tiga bulan dengan bon jaminan RM1,000 dan seorang penjamin tempatan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam dengan menyebut ‘mungkin ada bom’ di Balai Berlepas Lapangan Terbang Tawau, pada pukul 3.15 petang, 15 Julai lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh diwakili peguam Jhessary P Kang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Berdasarkan fakta kes, ketika pemeriksaan untuk memasuki Balai Berlepas, tertuduh didakwa secara bergurau menyebut ‘mungkin ada bom’ yang merujuk beg penumpang wanita warga China yang sedang diperiksa polis bantuan

Namun, pemeriksaan lanjut tidak menemukan barang mencurigakan dalam bagasi penumpang itu dan tertuduh ditahan untuk siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button