Rumah amal GISB didik penghuni meliwat – KPN
KUANTAN – Siasatan polis mendedahkan rumah amal kendalian Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) mengamalkan didikan luar tabie dengan membenarkan penghuni termasuk kanak-kanak diliwat dan meliwat.
Lebih mengejutkan polis mendedahkan mangsa terlebih dahulu diajar cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan kemudiannya dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.
Didikan jijik tersebut didedahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin dalam satu sidang akhbar, mengenai ‘Op Global’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.
Beliau turut berkata, berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki GISB turut melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
“Mangsa kanak-kanak dan sentimen agama digunakan untuk menagih simpati bagi mendapatkan sumbangan.
“Menggunakan objek yang dipanaskan bagi mencederakan mangsa sebagai tanda menghukum atas kesilapan yang dilakukan. Selain itu menyentuh tubuh mangsa dengan alasan melakukan rawatan secara perubatan Islam,” katanya.
Dalam Op Global dijalankan antara pukul 6 hingga 11 pagi hari ini, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun diselamatkan daripada 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.
Mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksplotasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik sebuah kumpulan perniagaan bermotifkan agama.
Selain itu, Razarudin berkata, mangsa yang tidak sihat tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal.
Katanya, pelaksanaan ‘Op Global’ membabitkan kekuatan 705 pegawai dan anggota polis.
Kata Razarudin lagi, operasi itu turut dibantu 287 individu iaitu rakan strategik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kimia Malaysia bagi membanteras kegiatan jenayah itu.
Kes disiasat di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611); Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (792); Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa.