Thomas Tuchel pengendali baharu skuad England
LONDON – Thomas Tuchel kini secara rasmi dilantik sebagai pengendali skuad kebangsaan England, menjadikannya pengendali ketiga bukan warga England yang diberi tanggungjawab tersebut.
Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) mengumumkan pelantikan pengendali berusia 51 tahun dari Jerman itu semalam, dan beliau dijangka memulakan tugas pada Januari bersama pembantunya, Anthony Barry.
Ketua Eksekutif FA Inggeris, Mark Bullingham berkata, kami teruja melantik Thomas Tuchel, salah seorang jurulatih terbaik di dunia, dan Anthony Barry salah seorang jurulatih terbaik dari England untuk membantunya.
Sebelum itu, jurulatih asing pertama yang memegang jawatan tersebut ialah Sven-Goran Eriksson dari Sweden, yang membimbing England dari tahun 2001 hingga 2006, diikuti Fabio Capello dari Itali yang menjawatnya dari 2008 hingga 2012.
Lee Carsley, pengendali skuad bawah 21 tahun England yang bertindak sebagai jurulatih sementara selepas peletakan jawatan Gareth Southgate susulan kekalahan di final Euro 2024 kepada Sepanyol akan meneruskan tugasnya untuk dua perlawanan Liga Negara-Negara Eropah yang akan datang.
Tuchel dan Barry sebelum ini bekerjasama di Chelsea dan Bayern Munich, dijangka memulakan tugas rasmi mereka pada 1 Januari menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2026.
Tuchel berkata, beliau berasa amat bangga diberi peluang untuk membimbing pasukan England. Saya mempunyai hubungan peribadi yang mendalam dengan bola sepak di negara itu dan pernah mengalami beberapa detik yang menakjubkan di sini.
Tuchel sebelum itu menggantikan Frank Lampard di Chelsea pada 2021, dan membawa kelab tersebut meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah beberapa bulan kemudian, menewaskan Manchester City di perlawanan akhir.
Bagaimanapun, Tuchel dipecat oleh Chelsea pada 2022, sebelum dilantik sebagai pengendali Bayern Munich pada Mac 2023, menggantikan Julian Nagelsmann.
Namun, musim pertama penuh beliau bersama Bayern agak mengecewakan apabila pasukan itu hanya menamatkan Bundesliga di tempat ketiga di belakang Bayer Leverkusen dan VfB Stuttgart, kali pertama mereka gagal memenangi liga tersebut sejak musim 2011-2012.