Berita Semasa

Kor Ming sumbang sebulan gaji kepada tabung kebajikan kakitangan KPKT

PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bertindak mendermakan sebulan gajinya kepada tabung kebajikan kakitangan sebagai menghargai kejayaan kementeriannya meraih Anugerah Pembangunan Negara 2024 (APN).

Sumbangan itu diumumkan beliau sewaktu sidang media sempena kejayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merangkul anugerah itu di sini hari ini.

Tanpa mendedahkan nilai sumbangan, Kor Ming berkata, jumlah tersebut melebihi daripada jumlah sebulan gajinya.

“Gaji saya pun sudah dipotong Perdana Menteri sebanyak 20 peratus. Kamu pun tahu kan berapa gaji menteri. Tapi saya bagi lebih daripada jumlah gaji tersebut,” katanya ketika menjawab pertanyaan wakil media.

Kor Ming turut mengumumkan pencapaian KPKT mengungguli tiga lagi anugerah pada APN 2024 yang berlangsung di Movenpick Convention Centre, KLIA, Sepang pada 12 November lalu.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek-projek pembangunan KPKT memberi impak yang sangat besar kepada rakyat di seluruh negara.

“Saya berharap agar kita dapat meneruskan kerjasama seperti ini supaya lebih banyak kejayaan yang dapat kita capai pada masa akan datang,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button