Penganjuran LTdL 2024 dijangka melebihi RM15 juta
BUKIT JALIL – Penganjuran Le Tour de Langkawai (LTdL) 2024 bermula akhir bulan depan dijangka melibatkan kos melebihi RM15 juta apabila ia melibatkan lokasi perlumbaan di Semenanjung dan Sarawak.
Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub, kos penganjuran bagi perlumbaan yang memasuki edisi ke-28 itu meningkat kerana ia akan melibatkan kos logistik di seberang laut iaitu Langkawi di Kedah; serta Miri dan Bintulu di Sarawak.
“Saya tidak boleh beritahu angka sebenar, tetapi agak tinggi. Lebih jauh daripada RM15 juta. Kita ada bajet kita, tetapi angka ini boleh berubah dari semasa ke semasa.
“Kalau RM15 juta mungkin kita boleh buat empat atau lima peringkat sahaja dan mungkin di Semenanjung sahaja. Jangan darab dahulu, matematiknya bukan begitu (sekali ganda),” katanya.
Abdul Rashid berkata demikian pada majlis pengumuman kerjasama strategik dengan Tourism Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Saidi Bundan.
Untuk rekod, penganjuran LTdL 2023 melibatkan peruntukan sebanyak RM8 juta, manakala pada edisi sebelumnya menelan belanja sekitar RM14 hingga RM17 juta.
Perlumbaan LTdL 2020 pula melibatkan kos RM20 juta selepas ia merentasi Sabah serta Sarawak dan berakhir di Langkawi.
Abdul Rashid seterusnya menjelaskan, jumlah tajaan masih belum boleh diumumkan kerana pihaknya masih lagi mengadakan perbincangan dengan beberapa lagi pihak penaja.
“Jadi tidak molek rasanya saya sebut sekarang angka tersebut. Jadi saya tak bercadang untuk sebut kerana kita ada lebih kurang sebulan lagi. Sebab akan ada beberapa penaja lagi yang nak masuk,” katanya.
Menurut beliau, penajaan yang dibuat rakan strategik MSN bagi menganjurkan LTdL sejak tahun lepas memberi pulangan sangat baik buat sektor korporat dan syarikat penaja.
“Kos itu berbaloi buat penaja dan MSN serta penonton Malaysia. Saya rasa sebab itu Tourism Malaysia masih bersama kita untuk menaja dengan bajet RM1 juta.
“Pelaburan seumpama ini bertaraf antarabangsa dan akan diuar-uarkan ke seluruh dunia. Ia tidak datang segera selepas kejohanan, tetapi ambil masa beberapa bulan,” katanya.
LTdL dijadual bermula 29 September hingga 6 Oktober depan melibatkan lapan peringkat sejauh 1,190 kilometer (km).