Insiden kanak-kanak memandu, kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kanak-Kanak
SEPANG – Pihak polis mengesahkan satu kertas siasatan sudah dibuka berkenaan kes kanak-kanak memandu sebuah kereta Perodua Viva sambil membawa adik-adiknya di sebuah taman perumahan dekat sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan lanjut kejadian itu sedang dijalankan.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ringkas dalam satu mesej di aplikasi Whatsapp, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, polis sudah mengenal pasti ibu bapa kepada tiga kanak-kanak itu, yang seorang daripadanya memandu kereta tanpa pengawasan orang dewasa di kawasan perumahan.
Wan Kamarul Azran kemudian mengesahkan, bapa kepada kanak-kanak terlibat telah hadir di IPD Sepang kelmarin bagi dirakam keterangan.
Video kejadian turut menjadi tular di media sosial, dan mengundang pelbagai reaksi netizen.