Kerajaan giat jalankan penyelidikan impak kehadiran bahan cemar terhadap kualiti air – Fadillah
PUTRAJAYA – Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang giat menjalankan penyelidikan berkaitan impak kehadiran bahan cemar baharu di beberapa lembangan sungai di Malaysia di bawah Rancangan Malaysia ke-12.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, bahan cemar tersebut termasuk bahan pengganggu endokrin (EDCs), kerintangan antimikrob (AMR) dan juga mikroplastik yang sememangnya memberi kesan terhadap kualiti air di sungai.
“Penyelidikan ini nanti diharap dapat digunakan oleh semua pemegang taruh yang berkaitan untuk mempertingkatkan kualiti air di Malaysia.
“Ini bermaksud, proses rawatan air minuman mungkin perlu diberi perhatian atau pendekatan baharu bagi menjamin kualiti air yang terbaik diterima oleh rakyat,” katanya yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Mikroplastik Kebangsaan Pertama anjuran NAHRIM bersama Frontier Laboratory Ltd., Japan dan Persatuan Penyelidikan Air Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Nahrim, Ir. Mohd Zaki Mat Amin.
Menurut Fadillah, seminar itu merupakan langkah yang signifikan dalam menyediakan platform perbincangan ilmiah dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan air kepada rakyat, selaras dengan tema utama persidangan, iaitu Transformasi Air: Ke Arah Keselamatan dan Kesihatan Air.
Mengulas lanjut Fadillah berkata, pelbagai laporan yang dikeluarkan berkaitan kehadiran bahan cemar baharu yang telah dikesan dalam sumber air di peringkat antarabangsa yang turut ditemui di Malaysia seperti plastik, bahan – bahan farmaseutikal dan racun serangga.
“Walaupun kehadirannya dikesan dalam kepekatan yang kecil, impak kehadiran bahan cemar baharu ini adalah sangat besar terutamanya terhadap kesihatan masyarakat dalam tempoh jangka masa panjang,” ujarnya lagi
Jelas Fadillah, bahan cemar baharu yang menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa adalah pencemaran berkaitan mikroplastik dalam sumber air di Malaysia.
“Mikroplastik memasuki sistem sungai
melalui beberapa cara terutamanya dari larian air permukaan, efluen air sisa (terawat dan tidak dirawat), efluen perindustrian dan sisa plastik terurai. Manusia terdedah kepada mikroplastik melalui pemakanan dan udara.
“Laporan World Economic Forum 2023 menunjukkan seseorang terdedah kepada pengambilan plastik secara tidak sengaja melalui bawaan air sebanyak 5 gram seminggu,” katanya.
Untuk rekod, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan manusia terdedah kepada mikroplastik melalui air terawat dan air botol dengan kepekatan 0 hingga 104 partikel per liter.
Selain itu, dalam program Global Burden of Disease pada tahun 2015, dianggarkan 4.2 juta orang meninggal dunia sebelum waktunya akibat pendedahan kepada jirim zarahan (particulate matter) yang juga mengandungi mikroplastik.