LHDN sahkan khidmat pegawai kontrak bulanan, harian ditamatkan pada 1 Januari ini
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesahkan khidmat seramai 42 orang pegawai kontrak bulanan dan 998 orang pegawai kontrak harian akan ditamatkan pada 1 Januari 2023.
Menurut LHDN dalam satu kenyataan, bagaimanapun, keputusan untuk tidak meneruskan amalan menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian telah dibuat pada tahun 2018 dan diputuskan untuk dilaksanakan secara sepenuhnya bermula pada 1 Januari ini.
“Secara dasarnya, LHDN menggajikan pegawai-pegawai kontrak ini bagi tujuan pelaksanaan tugasan atau fungsi yang perlu diselesaikan dalam suatu tempoh yang spesifik, iaitu berasaskan projek atau project based.
“Selaras dengan perkembangan dan pembangunan prasarana teknologi maklumat di LHDN, proses kerja di agensi ini telah melalui pelbagai fasa digitalisasi yang pesat, sekali gus merubah tatacara kerja di LHDN.
“Transformasi pendigitalan ini membolehkan kebanyakan tugasan dan fungsi kerja di LHDN diautomasikan seterusnya meningkatkan kos kecekapan dalam mentadbir sistem percukaian negara Selari dengan usaha digitalisasi ini, LHDN telah memperkemaskan struktur organisasinya yang mana turut melibatkan penstrukturan sumber manusia,” katanya hari ini.
Selain itu katanya, LHDN juga terlibat dalam penganjuran program MYFutureJobs yang dilaksanakan oleh PERKESO kepada pegawai kontrak yang sedang berkhidmat di LHDN.
Jelasnya, program itu adalah salah satu kaedah pencarian kerja dalam kalangan pegawai kontrak yang bakal menamatkan perkhidmatan dengan LHDN pada 31 Disember ini.
“Pihak PERKESO telah hadir memberikan penerangan lanjut berhubung program ini dan seterusnya membantu pegawai untuk mendaftar dalam sistem pencarian kerja tersebut.
“Hasilnya, dalam tahun 2022, seramai 59 orang pegawai kontrak telah berjaya mendapat pekerjaan lain dan telah menamatkan kontrak mereka dengan LHDN,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, penawaran lantikan ke jawatan tetap ke peringkat lebih tinggi iaitu ke peringkat eksekutif turut diberikan kepada pegawai-pegawai kontrak berdasarkan merit kelayakan dan kesesuaian jawatan.
Walaubagaimanapun, ujarnya, lantikan ke jawatan tetap secara menyeluruh kepada semua pegawai kontrak tidak dapat dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan peluang antara calon kategori lain yang berkelayakan seperti calon dalam kalangan pegawai tetap sedia ada dan calon luar.
“Untuk rekod, seramai 653 orang pegawai kontrak telahpun dilantik ke jawatan tetap bagi tempoh mulai tahun 2017 hingga 2022.
“Justeru, tindakan LHDN untuk tidak meneruskan perkhidmatan pegawai kontrak ini tidak didorong oleh kepentingan peribadi mana-mana pihak tetapi bertunjangkan kepada hasrat meningkatkan kecekapan operasi agensi ini selain memastikan sumber kewangan negara digunakan secara optimum bagi mengelakkan sebarang pembaziran,” katanya.
Sementara itu, LHDN juga menegaskan kutipan cukai langsung negara yang ditadbir oleh agensi itu tidak boleh digunakan semata-mata bagi tujuan penyambungan kontrak para pegawai ini seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Katanya, sekiranya cadangan ini diambilk ira serta dilaksanakan ia bakal mengundang perspektif negatif pihak-pihak lain.
“Hasil kutipan langsung cukai negara perlu diagihkan sama rata demi kemakmuran serta kesejahteraan negara.
“Adalah diharapkan penjelasan ini dapat memperbetulkan kekeliruan dan salah tafsir semua pihak mengenai tindakan LHDN berkenaan isu penamatan pegawai kontrak ini,” ujarnya.