Prof Dr Md Amin dilantik semula Naib Canselor UPSI
SERDANG – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan Md Amin Md Taff dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai hingga 30 Jun 2026.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, beliau pertama kali dilantik menjadi Naib Canselor UPSI pada 24 Jun 2021 lalu bagi tempoh tiga tahun.
“Pelantikan semula ini memberi peluang kepada beliau untuk meneruskan perancangan beliau dalam memperkasa UPSI sebagai universiti awam tunggal yang bertujahkan bidang pendidikan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, KPT juga yakin dengan pelantikan semula beliau akan terus memastikan kecemerlangan UPSI dalam bidang akademik dan penyelidikan.
“Ini termasuk usaha beliau dalam melahirkan graduan guru yang berkualiti untuk memenuhi keperluan sektor pendidikan negara,” tambahnya.
Dalam pada itu, sesi penyerahan watikah pelantikan semula telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir petang tadi.
Dengan pelantikan semula ini, kementerian berharap UPSI akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasa sistem pendidikan negara melalui penyediaan tenaga pengajar yang berkualiti tinggi.