Jenayah & Mahkamah

Sindiket guna ‘rider’ cepatkan pemindahan PATI

KOTA BHARU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran yang menggunakan penunggang motosikal bagi mempercepatkan pemindahan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari rumah transit ke terminal bas ekspress, pada 10 Jun lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kegiatan itu dikesan dalam satu operasi pihaknya di Kubang Kerian dan Lembah Sireh, di sini.

Katanya, dalam operasi tersebut pihaknya berjaya menahan dua lelaki tempatan dan 33 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dibawa memasuki Malaysia melalui laluan haram.

Berdasarkan maklumat awam dan risikan, seramai 19 anggota Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat dengan bersama Unit Risik Sempadan JIM Negeri Kelantan digerakkan bagi menyerbu sebuah rumah yang dijadikan lokasi transit PATI.

“Dalam serbuan itu, pasukan operasi berjaya menahan seramai empat lelaki warga Bangladesh, satu wanita warga Thailand dan dua lelaki warga India yang dijumpai berada dalam kereta transporter yang cuba melarikan diri.

“Susulan dari tangkapan tersebut, pasukan berjaya memperoleh maklumat mengenai pergerakan transporter bermotosikal dipercayai cuba memindahkan PATI ke Terminal Bas Ekspres Lembah Sireh, ” kata Ruslin dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan maklumat diterima, pasukan kemudiannnya bergegas ke lokasi sasaran dan berjaya menahan dua lelaki tempatan, masing-masing sedang membonceng seorang lelaki warganegara Myanmar.

“Seorang penunggang motosikal berkenaan cuba melarikan diri namun berjaya dihalang oleh anggota operasi, dan kedua-dua motosikal disita untuk tindakan jabatan.,” katanya lagi.

Pasukan operasi kemudiannya memeriksa kawasan sekitar terminal dan berjaya menahan seramai 24 orang PATI terdiri dari 17 lelaki dan tujuh wnita dipercayai sedang menunggu bas untuk dibawa ke destinasi yang ditetapkan.

Menurut Ruslin, sindiket dipercayai telah mengubah modus operandi mereka dengan merekrut penunggang motosikal untuk membawa keluar PATI dari rumah transit ke terminal bas ekspres.

“Taktik ini dipercayai untuk mempercepatkan pergerakan PATI ke destinasi di luar Kelantan serta mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kumpulan sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 kepada PATI untuk semua urusan berkaitan kemasukan mereka ke negara ini,” katanya lagi.

Kesemua 33 PATI berumur di antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan kerana tinggal lebih masa dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.

Manakala dua orang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, dan semua kenderaan disita untuk siasatan lanjut.

Show More

Related Articles

Back to top button