Jenayah & Mahkamah

Imigresen selamatkan enam wanita warga asing

Diperdagangkan untuk khidmat seks

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menyelamatkan enam wanita warga asing yang terdiri daripada lima warganegara Vietnam dan seorang warganegara Thailand yang disyaki dijadikan mangsa eksploitasi seks dalam satu operasi di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, kesemua mereka berjaya diselamatkan setelah pihaknya menyerbu sebuah premis rumah kedai tiga tingkat tidak bernama.

GAMBAR IHSAN JABATAN INIGRESEN MALAYSIA

“Operasi yang bermula pada pukul 10.00 malam itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA dan Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Operasi membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran ini turut menggunakan pendekatan mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi seks) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam operasi tersebut, pihaknya turut menahan seorang lelaki warganegara Malaysia yang disyaki berperanan sebagai ‘handler’ dan ‘captain’ yang mengawal wanita warga asing

Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari sumber aduan dan risikan yang dijalankan, JIM tidak menolak kemungkinan aktiviti ini melibatkan sindiket yang beroperasi dengan menjanjikan peluang pekerjaan yang sah kepada mangsa, namun dieksploitasi sebagai pekerja seks sebaik tiba di negara ini.

“Wanita warga asing itu kemudiannya dipromosikan melalui aplikasi dalam talian dengan kadar bayaran dikenakan adalah sebanyak RM240 bagi 1 jam langganan, sebaliknya mangsa hanya diberikan upah sebanyak RM100 bagi tempoh tersebut,” katanya lagi.

Tambah Ruslin lagi, pergerakan kesemua wanita ini dikawal sepenuhnya oleh ‘handler’ yang langsung tidak membenarkan mereka keluar untuk mendapatkan barangan keperluan diri termasuk makanan dengan pasport mereka turut dipegang oleh sindiket.

JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman pemenjaraan seumur hidup atau dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat.

“Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA melalui talian 03-8880 1471 atau e-mel: urusetia_p@imi.gov.my” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button