Sarang pelacuran diserbu, 51 warga asing ditahan
KUALA LUMPUR – Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan aktiviti pelacuran yang dipercayai beroperasi sejak lebih 30 tahun melalui serbuan Operasi Khas di Jalan Pasar Baru, di sini Khamis lalu.
Operasi melibatkan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Negeri Perak itu dijalankan selepas menerima aduan dan menjalankan risikan selama tiga minggu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 51 warganegara asing dalam lingkungan umur 24 hingga 54 tahun ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil, di sini.
Suspek terdiri dari pelbagai warganegara termasuk Vietnam, Indonesia, Myanmar, India, Pakistan dan Bangladesh.
Ruslin berkata, modus operandi kegiatan adalah menawarkan perkhidmatan urutan badan dan aktiviti pelacuran kepada warganegara asing dan tempatan.
“Perkhidmatan urutan badan dijalankan di tingkat bawah premis manakala aktiviti pelacuran di tingkat satu.
“Pelanggan akan memilih perempuan warganegara asing untuk dilanggan dan bayaran sebanyak RM80 hingga RM150 bagi sesi satu jam di dalam bilik di tingkat yang lain.
“Premis ini telah beroperasi selama lebih kurang 30 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, pasukan operasi berjaya merampas 19 naskhah pasport Vietnam, dua naskhah pasport Bangladesh, empat botol minyak urut dan kondom.
Sementara itu, lima orang lelaki warganegara Malaysia diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Kes disasat di bawah Akta imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1966 dan Akta Pasport 1966.
“Jabatan Imigresen Malaysia akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” ujarnya.