Berita Semasa

Pencalonan Anugerah Seri Angkasa dibuka Julai depan

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi hari ini mengumumkan pencalonan Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024 dibuka selama dua minggu, bermula 1 hingga 15 Julai depan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, anugerah itu merupakan inisiatif penting kerajaan melalui kementeriannya, untuk mengiktiraf dan memartabatkan industri penyiaran tanah air serta penggiat di belakang tabir.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hari ini mengumumkan tarikh penting pencalonan Anugerah Seri Angkasa di Putrajaya.

“Penganjuran ASA sebagai salah satu medium pengiktirafan kepada penggiat industri penyiaran merangkumi pekerja di belakang tabir seperti kru penerbitan dan siaran, penerbit, pereka, juruhebah, penyampai serta kru teknikal dilihat mampu memberikan impak dalam memaksimumkan potensi pembangunan industri ini.

“Usaha ini dilakukan melalui penghasilan karya dan penerbitan kandungan kreatif penyiaran yang berkualiti tinggi dan berdaya saing, sekaligus mewujudkan peningkatan peluang pekerjaan kepada penggiat industri kreatif penyiaran.

“ASA 2024 edisi ke-36 akan mempertandingkan sebanyak 60 kategori, iaitu 40 kategori televisyen (TV), 16 kategori radio dan empat kategori media baharu. Selain itu, ASA 2024 turut memperkenalkan satu kategori baharu di bawah media baharu, iaitu Podcast Terbaik,” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi, hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hari ini dalam sidang media pencalonan Anugerah Seri Angkasa di Putrajaya.

Ujarnya, dua kategori khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa, ditampilkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 62 kategori.

Dalam pada itu, syarat utama penyertaan ialah semua pencalonan perlu dikemukakan melalui organisasi penyiaran yang berlesen dan pertama kali disiarkan di stesen penyiaran serta platform media baharu dalam tempoh antara 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2023.

Katanya, sepanjang tempoh pencalonan, Kementerian Komunikasi turut menyediakan kemudahan untuk mengakses dan mengemukakan pencalonan.

“Dengan melalui sistem ASA 2024 di Makmal Komputer B, Aras 19, Kompleks Kementerian Komunikasi,” ujarnya.

Semua stesen penyiaran kerajaan dan swasta dipelawa untuk merujuk dan mengemukakan pencalonan bagi 60 kategori secara dalam talian melalui laman sesawang [www.anugerahseriangkasa.gov.my] dan (http://www.anugerahseriangkasa.gov.my).

Show More

Related Articles

Back to top button