
[BELASUNGKAWA] Pemergian Tan Sri Ahmad Mohd Don satu kehilangan buat institusi kewangan negara
JOHOR BAHRU – Pemergian bekas gabenor Bank Negara, Allahyarham Tan Sri Ahmad Mohd Don pada 17 September lalu di kediaman keluarganya di Jalan Tengah, Stulang Bahru, merupakan satu kehilangan permata negara yang banyak memberi jasa kepada institusi kewangan di negara ini.
Berita pemergian Allahyarham turut memberi kesan kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim yang menzahirkan rasa takziah menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya.
“Mendoakan kekuatan buat keluarganya atas ujian yang getir ini dan semoga ruhnya diberi keampunan oleh Allah SWT serta ruhnya diberikan tempat yang terbaik olehnya,” kata Perdana Menteri dalam hantaran tersebut.
Pemergian Allahyarham turut mendapat perhatian daripada pelbagai agensi-agensi dan jabatan-jabatan dengan kiriman ucapan takziah diatas pemergian Allahyarham.
“Jasa dan sumbangan beliau dalam industri perbankan negara dari tahun 1994-1998 akan diingati oleh seluruh rakyat Malaysia dan pastinya sumbangan Almarhum kepada asnaf melalui bayaran zakat di Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) sejak tahun 1995 lagi,” kata satu hantaran di PPZ-MAIWP.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 77 tahun dan kisah pemergiannya turut dikongsikan oleh isteri, Puan Sri Hamidah Mohamed.
Menurut Hamidah, Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada penghujung November tahun lalu, dan di tahan selama dua minggu serta diintubasi.
Bagaimanapun, Allahyarham terus ditahan di wad sejak itu akibat penyakit yang dihidapinya.
Allahyarham kemudiannya dilaporkan berasa trauma susulan penahanan di wad yang terlalu lama, menyebabkan Allahyarham mengambil keputusan tidak ke hospital serta menolak untuk membuat ‘tapak’ bagi menjalani proses dialisis seperti yang disarankan oleh pihak doktor.
Walaubagaimanapun, Allahyarham hanya dapat bertahan sehingga bulan Mei 2024 dan ditahan semula di Sunway Medical Petaling Jaya.
Kali ini, Allahyarham bersetuju untuk menjalani proses membuat ‘tapak’ dialisis seterusnya menjalani rawatan tersebut, bermula dengan tiga kali dalam seminggu sehinggalah dinaikkan kepada empat kali seminggu.
Hamidah sekeluarga meluahkan rasa berterima kasihnya kepada kumpulan doktor yang bertungkus lumus menjaga dan merawat Allahyarham semasa hayatnya iaitu Nephrologist, Dr. Thiruventhiran dan Dr. Azreen; Cardiologist Datuk Dr. Anuar Marzuki dan Dr. Mohd Kamal; Geriatrician Dr. Edward dan Dermatologist Dr. Sharifah Rosniza.
Mengenang minggu-minggu terakhirnya dan atas dasar tanggungjawab yang digalas, Allahyarham yang masih berada di Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) telah meminta pihak peguam, kakitangan bank dan juga kakitangan Amanah Saham Berhad (ASM) untuk berjumpa bagi menyelesaikan semua urusan-urusan yang tertangguh dan yang belum selesai.
Setelah 16 hari berada dalam unit HDU, akhirnya para doktor yang merawat Allahyarham memaklukan bahawa mereka tidak dapat meneruskan lagi alat sokongan perubatan.
Justeru, isteri Allahyarham telah mengambil keputusan membawa suaminya dengan persetujuan untuk pulang ke rumah mereka.
Pada 16 haribulan, sekitar pukul 11.30 malam, pihak ambulan dan keluarga tiba di Johor Bharu dan mengambil masa kira-kira sejam bagi kumpulan paramedik menguruskan penyediaan dan ketibaannya di rumah.
Walaubagaimanapun, Allah lebih menyayangi Allahyarham apabila pada pukul 1.50 pagi pada 17 Oktober 2024, ketika isterinya menunaikan solat telah dimaklumkan oleh anaknya tentang pemergian suami tercinta. Allahyarham juga sempat meminta kesemua anak-anak dan cucu-cucunya berkumpul dan mengambil gambar bersama pada minggu terakhir hayatnya.
Allahyarham kemudiannya dimandi dan dikapankan di Surau Darussalam Stulang Baru dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Danga pada pukul 10.30 pagi.
Allahyarham telah meninggalkan tujuh anak dan yang paling terkesan adalah anak bongsunya Nurul Izzah Ahmad, 18 yang menuntut di Sunway College AUSMAT (Australia).
Menurut ibunya, Nurul Izzah terlalu rapat dengan suaminya,” Dia paling rapat dengan arwah dan berita papanya meninggal menyebabkan dia kemurungan dan berasa arwah masih ada bersama.
“Arwah juga telah membuat persiapan dari awal untuk menghantar anak bongsunya melanjutkan pengajian ke University of Queensland tahun hadapan dalam jurusan Bachelor of Business.
“Sebelum dimasukkan ke wad ICU, arwah sendiri yang memandu untuk menghantar anak kesayangan ke sekolah sejak dari tadika lagi sehingga tamat Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE),” kata isteri Allahyarham.
Allahyarham Tan Sri Ahmad memiliki pengalaman yang luas dalam bidang kewangan dan perbankan. Beliau bermula dengan meraih kelulusan dalam pendidikan Ijazah Ekonomi dengan Kepujian daripada Universiti Wales, Aberystwyth, United Kingdom pada tahun 1969.
Allahyarham merupakan ahli Fellow Institute of Chartered Accountants di England dan Wales serta ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah. Menerusi pengalaman tersebut, beliau telah dilantik sebagai gabenor Bank Negara ke-5 iaitu dari Mei 1994 hingga Ogos 1998.
Beliau turut pernah menyandang jawatan selaku Ketua Pengarah Eksekutif Maybank dari tahun 1991 hingga tahun 1994. Beliau meluaskan lagi kepakaran dengan memikul peranan penting selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Alliance Bank Malaysia Bhd pada tahun 2017 sehingga tahun ini.
Walaupun nama beliau kian dilupakan namun jasa dan sumbangan beliau yang telah menerajui tampuk kepimpinan bank Negara Malaysia dan juga pembangunan institusi kewangan di negara yang membawa nama Malaysia ke serata dunia sentiasa disanjungi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |