Berita Semasa

17,452 keputusan kewarganegaraan dikeluarkan setakat 1 Oktober

KUALA LUMPUR – Sebanyak 17,452 keputusan kewarganegaraan telah dikeluarkan setakat 1 Oktober lalu, melebihi sasaran 17,000 permohonan yang ditetapkan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan setiap permohonan kewarganegaraan diproses dengan telus, adil dan mengikut peruntukan undang-undang.

Katanya, setiap permohonan kewarganegaraan perlu diteliti dengan rapi berdasarkan peruntukan undang-undang dan pihaknya berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan tempoh menunggu bagi mereka yang telah mengemukakan permohonan yang lengkap.

“Permohonan kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi dan hak eksklusif kerajaan Persekutuan dan tidak diberikan sewenang-wenangnya justeru setiap permohonan akan dinilai dengan teliti tanpa mengira keturunan, agama atau pangkat pemohon,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.

Jawapan bertulis tersebut adalah bagi menjawab pertanyaan dikemukakan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) yang ingin mengetahui langkah KDN memastikan mereka yang mempunyai kad pengenalan merah dan mempunyai dokumen permohonan lengkap tidak menunggu lama dalam proses permohonan mereka.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pertimbangan dibuat berdasarkan syarat dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, serta perundangan berkaitan seperti pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.

Katanya, penilaian setiap permohonan bergantung kepada dokumen sokongan dan fakta kes dikemukakan.

“Walaupun proses ini memerlukan masa, KDN berusaha mempercepatkan pengeluaran keputusan.

“Sebagai tambahan, KDN mengeluarkan Prosedur Pengendalian Standard Permohonan Kewarganegaraan secara naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan pada 30 September lalu yang akan memastikan proses permohonan dan tempoh masa pemprosesan selama setahun.

“SOP 19(1) ini akan berkuat kuasa bagi permohonan kewarganegaraan mulai 1 Januari 2025,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button