Perolehan pertahanan ambil kira konflik Palestin-Israel, kepentingan negara – Menteri Pertahanan
KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi jaminan tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pendirian global Malaysia terutama dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan kebangsaan Malaysia.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas negara Palestin.
“Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi mutakhir, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional serta pendirian politik global Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai desakan BERSATU supaya kerajaan megharamkan penglibatan syarikat yang membekalkan senjata dan peralatan perang kepada Israel daripada Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 yang bermula hari ini.
Dua syarikat yang dirujuk ialah Lockheed Martin dari Amerika Syarikat dan BAE dari United Kingdom.
Mengulas lanjut, katanya, Malaysia adalah sebuah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Malaysia.
Justeru katanya, Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu.
“Hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan Malaysia campur tangan.
“Penganjuran pameran ini juga sangat jelas iaitu menyediakan ruang dan memberi peluang kepada semua pihak untuk mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan,” ujarnya.
Sementara itu katanya, pameran itu turut mendapat penyertaan besar dari negara-negara Islam seperti Turkiye, Indonesia, UAE, Iran, Bosnia & Herzegovina dan Pakistan.
“Selain negara-negara Islam, pameran ini turut menjadi arena penting kepada pemain pertahanan Asia dari Korea Selatan, China, India dan Singapura.
“DSA dan NATSEC Asia 2024 juga adalah satu pameran yang dianjurkan oleh pihak swasta dengan kos dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur. Kerajaan Malaysia tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan dalam penganjurannya,” katanya.