SKM lulus bantuan RM246,000 kepada Federasi Koperasi Pemborongan dan Peruncitan Malaysia
KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan bantuan di bawah Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) kepada federasi Koperasi Pemborongan dan Peruncitan Malaysia Berhad berjumlah RM246,000.
Timbalan Menterinya, Ramanan Ramakrishnan berkata, skop bantuan termasuk pembelian sebuah lori berkapasiti 7.5 tan berjumlah RM151,000 untuk kemudahan penghantaran barangan keperluan kepada rangkaian pusat pengedaran dan Coop Mart di Semenanjung.
“Penyerahan lori ini adalah dalam usaha untuk mengukuhkan peranan federasi sebagai Pusat Pengedaran Utama.
“Galakan yang diberikan diharap dapat membantu kerajaan dan rakyat dalam menangani cabaran kenaikan kos sara hidup melalui penguasaan rantaian bekalan secara menyeluruh melalui gerakan koperasi dengan menawarkan harga barangan keperluan asas yang lebih berpatutan dari pasaran semasa,” katanya.
Ramanan berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di ibu pejabat SKM, di sini hari ini.
Majlis turut mengadakan peluncuran Podcast Oh! Gitu… yang merupakan satu platform interaktif bual bicara mengupas persoalan-persoalan berkaitan ekosistem koperasi atau isu-isu semasa yang berlaku dalam gerakan koperasi.
Menurut SKM, podcast berkenaan akan mula bersiaran pada 10 Mei depan secara berkala di media sosial SKM.
Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B); Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Noor Afifah Abdul Razak; ketua-ketua agensi di bawah KUSKOP serta gerakan koperasi.